Skip to main content

Malaysia

Mahkamah Tinggi tolak permohonan Bloomberg (Malaysia) batal saman fitnah Bestinet dan Aminul Islam

https://www.sinarharian.com.my/article/769659/berita/semasa/rayuan-fathul-bari-ditolak-gagal-pulangkan-hampir-setengah-juta-wang-jemaah-haji
Berdasarkan dokumen mahkamah difailkan di Mahkamah Tinggi oleh peguam Amer Hamzah Arshad, Bloomberg berhujah syarikat itu menyatakan ia bukan penerbit, malah tidak menyebabkan penerbitan artikel dipersoalkan itu pada Januari 2026. - Gambar fail/Sinar Harian

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi menolak permohonan Bloomberg (Malaysia) Sdn Bhd untuk membatalkan saman fitnah yang difailkan oleh Bestinet Sdn Bhd dan pengasasnya, Datuk Seri Aminul Islam Abdul Nor, berhubung laporan berkaitan dakwaan eksploitasi pekerja asing yang dikaitkan dengan syarikat itu.

Hakim Mahkamah Tinggi, Roslan Mat Nor, ketika menyampaikan keputusan pada Jumaat, memutuskan bahawa terdapat beberapa isu penting dalam pliding Bloomberg (Malaysia) berhubung artikel yang dipertikaikan bertajuk "Everyone Gets A Cut, And Migrant Workers Pay The Price" yang memerlukan penelitian lanjut semasa perbicaraan penuh, memetik laporan theedgemalaysia.com.

Menurut beliau, perkara tersebut tidak boleh diputuskan secara ringkas hanya berdasarkan afidavit kerana terdapat isu fakta yang perlu dibuktikan melalui proses perbicaraan.

Antara isu yang perlu diperhalusi ialah sama ada Bloomberg (Malaysia) benar-benar terlibat dalam penerbitan artikel berkenaan atau mempunyai kawalan serta peranan terhadap operasi laman web utama Bloomberg.

Mahkamah turut memerintahkan Bloomberg (Malaysia) membayar kos sebanyak RM5,000 kepada pihak plaintif.

Dua bulan yang lalu, Bloomberg (Malaysia) Sdn Bhd memfailkan permohonan membatalkan saman fitnah dikemukakan Bestinet Sdn Bhd dan pengasasnya, Aminul Islam berhubung satu artikel mengaitkan mereka dengan sindiket pengambilan pekerja asing.

Berdasarkan dokumen mahkamah difailkan di Mahkamah Tinggi oleh peguam Amer Hamzah Arshad, Bloomberg berhujah syarikat itu menyatakan ia bukan penerbit, malah tidak menyebabkan penerbitan artikel dipersoalkan itu pada Januari 2026.

Peguam mewakili Bestinet dan Aminul Islam, Ravi Nekoo daripada firma guaman Lui & Bhullar, berhujah bahawa Bloomberg (Malaysia) bukanlah entiti yang benar-benar berasingan daripada syarikat induknya dan mempunyai tanggungjawab tertentu terhadap penerbitan artikel tersebut.

Ravi Nekoo turut menegaskan bahawa dakwaan Bloomberg (Malaysia) yang menyatakan syarikat itu hanya menyediakan perkhidmatan sokongan tempatan tanpa sebarang kawalan terhadap penerbitan perlu dibuktikan melalui perbicaraan.

Selain Bloomberg LP dan Bloomberg (Malaysia), Bestinet serta Aminul Islam turut memfailkan saman terhadap lapan defendan lain termasuk Malaysiakini, The Edge, bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya, dan Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli.

Tindakan undang-undang itu berpunca daripada laporan Bloomberg yang diterbitkan pada Januari lalu mengenai operasi Foreign Worker Centralised Management System (FWCMS) oleh Bestinet, iaitu sistem yang digunakan bagi memproses kemasukan pekerja asing ke Malaysia.

Bestinet dan Aminul Islam mendakwa kenyataan yang diterbitkan dalam laporan tersebut adalah berunsur fitnah, tidak benar serta telah menjejaskan reputasi dan nama baik mereka dengan serius.

Keputusan Mahkamah Tinggi itu membolehkan saman fitnah berkenaan diteruskan ke peringkat perbicaraan penuh, sekali gus memberi peluang kepada semua pihak mengemukakan bukti dan keterangan berhubung isu-isu yang dipertikaikan.

Must Watch Video

Advertisement