KUALA LUMPUR: Persatuan Automotif Malaysia (MAA) berharap kerajaan akan mempertimbangkan untuk memperluas pemberian tambahan 100 liter diesel bersubsidi kepada pemilik kenderaan pelbagai guna (MPV).
Menurut MAA dalam kenyataan hari ini, pada masa ini, kemudahan itu hanya diberikan kepada pemilik trak pikap dan kenderaan utiliti sukan (SUV) yang layak.
"Berikutan MPV berkuasa diesel hanya menyumbang kira-kira satu peratus daripada jumlah keseluruhan industri, perluasan subsidi kepada segmen ini hanya memberi impak fiskal yang minimum namun merupakan bantuan penting kepada keluarga yang bergantung kepada kenderaan itu," menurut kenyataan itu.
Pada 22 Jun, kerajaan mengumumkan pemberian tambahan 100 liter diesel bersubsidi selain kuota sedia ada sebanyak 200 liter kepada pemilik trak pikap dan SUV yang layak.
Sementara itu, MAA berpandangan bahawa mekanisme subsidi yang ditambah baik itu akan membantu memulihkan keyakinan pengguna terutama bakal pembeli yang menangguhkan pembelian kenderaan susulan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel.
"Langkah itu dijangka menggalakkan pengguna untuk mempertimbangkan semula rancangan pembelian mereka, terutamanya bagi segmen trak pikap, yang kini semakin popular sebagai kenderaan gaya hidup serta SUV berkuasa diesel," menurutnya.
Sejak harga diesel diapungkan pada 10 Jun 2024 yang menyaksikan harga runcit meningkat daripada RM2.15 seliter kepada RM4.07 seliter berdasarkan harga pasaran, MAA mendapati permintaan terhadap kenderaan berkuasa diesel merosot dengan ketara.
"Jualan kenderaan diesel khususnya bagi segmen trak pikap dan SUV di Semenanjung Malaysia telah merosot hampir 25 peratus," menurut kenyataan itu.
MAA juga berharap untuk terus mengadakan libat urus dengan kementerian berkaitan bagi memastikan langkah dasar yang dilaksanakan dapat memberi manfaat kepada pengguna serta menyokong pembangunan industri automotif secara keseluruhan.
-- BERNAMA