SENGGARANG: Kempen yang bakal digerakkan sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor oleh Pakatan Harapan akan berlandaskan fakta, rekod pencapaian serta tawaran yang realistik, bukannya fitnah.
Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Fahmi Fadzil berkata, parti itu dalam masa terdekat akan melancarkan manifesto khusus bagi Johor yang mengandungi pelbagai idea, cadangan serta ikhtiar untuk ditawarkan kepada rakyat negeri itu.
“Kita akan persembahkan kepada Bangsa Johor, kepada para pengundi dalam pilihan raya negeri ini idea-idea dan cadangan berdasarkan fakta, usaha serta ikhtiar yang akan digerakkan oleh Pakatan Harapan.
“Kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri yang sehaluan mampu mempercepatkan pelaksanaan pelbagai projek pembangunan demi manfaat rakyat.
“Sebagai contoh, katanya, projek Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru-Singapura kini semakin hampir menjadi kenyataan, sekali gus melancarkan pergerakan rakyat antara Malaysia dan Singapura,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa Program Hasrat MADANI di sini, hari ini.
Pada masa sama, Fahmi berkata, antara fokus utama PH adalah memastikan jurang pembangunan dan ekonomi antara daerah di Johor dapat dikurangkan.
Beliau berkata, pengalaman pentadbiran PH di negeri-negeri seperti Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang membuktikan gabungan itu mempunyai rekod pencapaian yang boleh dijadikan contoh.
“PH bukan sekadar membuat pengumuman kosong atau bercakap di kedai kopi, tetapi ia berdasarkan fakta dan pencapaian yang telah terbukti.
“Kita juga menampilkan ramai tokoh berpengalaman termasuk bekas anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor yang diyakini mampu membawa perubahan kepada negeri ini,” ujarnya lagi.