Skip to main content

Sukan

Young Tigers uji taring di Jepun hadapi Piala Remaja Asia 2026 

51662817750_TBMHCLogo.jpg
MHC memaklumkan lima perlawanan ujian diatur merangkumi satu aksi berdepan skuad senior Jepun dan empat skuad B21 sebagai pendedahan kepada perlawanan berintensiti tinggi dan mengukur tahap barisan pemain muda negara ketika ini.

KUALA LUMPUR: Skuad hoki remaja lelaki kebangsaan pada Sabtu berlepas ke Gifu, Jepun bagi menjalani siri perlawanan ujian menentang beberapa pasukan negara itu sebagai persiapan menghadapi Kejohanan Piala Remaja Asia 2026 di Moqi, China pada 4 hingga 13 Sept ini. 

Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) dalam kenyataan pada Sabtu memaklumkan lima perlawanan ujian diatur merangkumi satu aksi berdepan skuad senior Jepun dan empat skuad B21 sebagai pendedahan kepada perlawanan berintensiti tinggi dan mengukur tahap barisan pemain muda negara ketika ini.

Sementara itu, jurulatih pasukan Nor Saiful Zaini Nasiruddin berkata hampir 80 peratus pemain merupakan wajah baharu dan berharap siri perlawanan itu mempercepatkan proses pembelajaran serta mematangkan corak permainan mereka dalam tempoh singkat sebagai persediaan menggalas cabaran negara.

“Pasukan mempunyai tempoh dua bulan untuk melakukan segala persiapan bagi memastikan misi Malaysia untuk layak ke Piala Dunia Remaja menerusi tiket Kejohanan Piala Remaja Asia tercapai.

“Lima perlawanan ujian ini antara langkah persiapan yang kami yakin dapat membantu mengenal pasti tahap keupayaan pasukan serta kelemahan yang akan segera diperbaiki dengan tempoh dua bulan yang kami ada ini,” katanya dalam kenyataan sama. 

Beliau berkata selepas pulang dari Jepun, skuad remaja kebangsaan akan menjalani satu lagi siri persiapan akhir sebagai persediaan menghadapi kejohanan berprestij berkenaan. 

“Kami sedar pasukan seperti Bangladesh, China, Jepun dan Korea antara pasukan yang sedang meningkat naik dan mereka perlu diberikan perhatian yang tinggi kerana pasukan ini mungkin memberikan ancaman kepada Malaysia dalam misi kelayakan.

“Kami yakin dengan persiapan terbaik, keazaman tinggi dalam hati setiap pemain dan keinginan untuk membawa maruah Malaysia setinggi mungkin akan mendorong kepada keputusan positif yang disasarkan,” katanya. 

Malaysia akan memulakan aksi ujian pertama pada 7 Julai bertemu Skuad Senior Jepun diikuti berdepan Pasukan B21 Jepun pada 8, 10, 11, dan 12 Julai sebelum kembali ke tanah air. 

-- BERNAMA 

Must Watch Video

Advertisement