WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) meraikan ulang tahun ke-250 kemerdekaannya dengan pelbagai acara di seluruh negara, termasuk konsert, perarakan dan pertunjukan bunga api, namun sambutan bersejarah itu turut dicabar oleh gelombang haba melampau serta kontroversi politik yang membayangi perayaan berkenaan.
Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan AS mengeluarkan amaran ribut petir teruk bagi kawasan Washington DC ketika suhu melebihi 38 darjah Celsius, menyebabkan beberapa acara terpaksa diubah suai atau dibatalkan atas faktor keselamatan.
Menurut laporan media tempatan, puluhan juta penduduk di seluruh negara berada di bawah amaran cuaca panas, dengan pihak berkuasa menasihatkan orang ramai supaya mengurangkan aktiviti luar, mendapatkan bekalan air yang mencukupi dan memantau keadaan cuaca semasa menghadiri sambutan Hari Kemerdekaan.
Di Washington DC, Presiden Donald Trump dijadual menyampaikan ucapan pada acara yang digambarkan sebagai perhimpunan “luar biasa” di National Mall sempena sambutan bersejarah tersebut.
Acara itu turut menampilkan pertunjukan bunga api berskala besar dan pelbagai program patriotik.
Bagaimanapun, Trump berdepan kritikan daripada pihak lawan yang menuduh beliau mempolitikkan sambutan kemerdekaan negara.
Dalam ucapannya di Mount Rushmore sehari sebelumnya, beliau mendakwa “identiti AS sedang diserang semula”, sekali gus mencetuskan perdebatan mengenai hala tuju negara ketika masyarakat AS masih berdepan perpecahan politik yang ketara.
Sambutan tahun ini dianggap lebih signifikan berbanding perayaan Hari Kemerdekaan biasa kerana menandakan 250 tahun sejak Deklarasi Kemerdekaan Amerika diisytiharkan pada 4 Julai 1776.
Pelbagai bandar utama termasuk New York, Philadelphia, Boston dan Washington DC menganjurkan program khas sepanjang hujung minggu bagi memperingati detik bersejarah tersebut.
Walaupun suasana perayaan berlangsung meriah, ramai rakyat AS menggambarkan keadaan negara ketika ini sebagai bebas, sentiasa berkembang, namun pada masa yang sama tegang dan berpecah dalam beberapa isu utama.
Pemerhati melihat ulang tahun ke-250 kemerdekaan itu bukan sahaja menjadi medan meraikan sejarah negara, malah ruang untuk rakyat menilai semula identiti dan masa depan AS.
Dalam tempoh penggal kedua pentadbirannya, Trump dijangka memimpin beberapa acara nasional bersejarah, namun sambutan ulang tahun kemerdekaan ke-250 ini dilihat sebagai antara agenda yang paling diberi perhatian oleh beliau.