KYIV: Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky mengucapkan tahniah kepada Amerika Syarikat (AS) pada Sabtu sempena ulang tahun ke-250 kemerdekaan negara itu, sambil menyamakan perjuangan penubuhan negara berkenaan dengan perjuangan Ukraine menentang Rusia.
Sama seperti rakyat AS yang berjuang dan mempertahankan kemerdekaan mereka, Ukraine kini sedang berjuang mempertahankan kedaulatan, kebebasan serta hak rakyatnya untuk menikmati kehidupan yang lebih baik, kata Zelensky dalam mesej sempena sambutan itu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Beliau berkata Amerika Syarikat membantu membebaskan dunia daripada "pemerintah zalim" pada abad lalu serta membina kerjasama yang membawa keamanan berkekalan dan peluang pembangunan dalam suasana kebebasan.
"Kini, pada abad ke-21, pengaruh dan kepentingan AS sememangnya tidak berkurangan," kata beliau menerusi media sosial.
"Dan kami melihatnya dengan begitu jelas di Ukraine, yang sedang berjuang untuk kemerdekaan, kebebasan dan hak rakyat kami untuk menikmati kehidupan yang lebih baik, dengan harapan, matlamat dan keazaman yang sama seperti yang mendorong rakyat AS mencapai serta mempertahankan kemerdekaan mereka."
I have congratulated President Trump @POTUS and all Americans on the Independence Day. We’ve had a very good phone call.
We are grateful to the United States for all the assistance we have received – from Javelins and Patriots to political support – and we deeply value that… pic.twitter.com/FKAPdpvnSN— Volodymyr Zelenskyy / Володимир Зеленський (@ZelenskyyUa) July 4, 2026
Beliau mengakhiri mesejnya dengan berkata: "Semoga impian masyarakat yang bebas sentiasa mengatasi kejahatan dan kebencian mereka yang mahu memusnahkan kebebasan. AS, terima kasih! Saya yakin jika kita bersatu, kita pasti akan mencapai keamanan! Selamat Hari Kemerdekaan!"
-- BERNAMA-dpa