Skip to main content

Dunia

Ukraine serang terminal minyak utama di St Petersburg

Last night, our Ukrainian long-range sanctions against Russia over this war reached targets near St. Petersburg. Ukraine's Defense Forces struck port oil infrastructure that generates revenue for Russia's war, and there were also successful strikes on Kronstadt – an important military target. The distance from Ukraine's state border is more than 850 kilometers._X @ZelenskyyUa
Tentera Ukraine menggambarkan terminal minyak St Petersburg sebagai antara yang terbesar di Rusia dengan kapasiti pengeluaran sekitar 12.5 juta tan produk petroleum setahun. - Foto X/Volodymyr Zelenskyy

KYIV: Ukraine mengesahkan telah melancarkan serangan dron jarak jauh ke atas sebuah terminal minyak utama di St Petersburg, bandar kedua terbesar Rusia, dalam operasi yang disifatkan sebagai menyasarkan infrastruktur yang menjana pendapatan bagi membiayai usaha perang Moscow.

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy, berkata serangan itu turut menyasarkan pangkalan tentera laut utama Armada Baltik Rusia di Kronstadt yang terletak berhampiran bandar berkenaan.

Beliau menyatakan kedua-dua sasaran berada kira-kira 850 kilometer dari sempadan Ukraine.

“Pasukan Pertahanan Ukraine menyerang infrastruktur minyak pelabuhan yang menjana pendapatan untuk perang Rusia, selain melancarkan serangan ke atas Kronstadt, iaitu sasaran ketenteraan utama,” kata Zelenskyy.

Gabenor St Petersburg, Aleksandr Beglov, mengakui bandar itu berdepan serangan dron secara besar-besaran pada waktu malam dan mengesahkan terminal minyak berkenaan terkena serangan.

Namun, beliau memaklumkan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Menurut pihak berkuasa Rusia, sebanyak 72 dron Ukraine berjaya ditembak jatuh di St Petersburg dan wilayah Leningrad.

Penduduk turut dinasihatkan supaya berada di dalam rumah sehingga ancaman serangan berakhir, manakala perkhidmatan internet mudah alih mungkin mengalami gangguan sementara.

Tentera Ukraine menggambarkan terminal minyak St Petersburg sebagai antara yang terbesar di Rusia dengan kapasiti pengeluaran sekitar 12.5 juta tan produk petroleum setahun.

Kemudahan itu juga merupakan hab penting bagi eksport produk minyak Rusia ke pasaran antarabangsa.

Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, Ukraine meningkatkan serangan dron jarak jauh terhadap infrastruktur tenaga Rusia.

Kyiv mendakwa hampir 43 peratus kapasiti penapisan minyak Rusia telah terjejas akibat siri serangan tersebut, walaupun dakwaan itu belum dapat disahkan secara bebas.

Ukraine menegaskan kemudahan minyak dan gas Rusia adalah sasaran sah kerana eksport bahan api fosil menjadi sumber pendapatan utama Moscow untuk meneruskan operasi ketenteraan sejak pencerobohan berskala penuh ke atas Ukraine pada Februari 2022.

Dalam perkembangan lain, tentera Ukraine menafikan dakwaan Presiden Rusia Vladimir Putin bahawa bandar Kostyantynivka di timur Ukraine telah berada sepenuhnya di bawah kawalan Rusia.

Jurucakap tentera Ukraine, Mejar Andriy Kovalyov, menegaskan bandar itu masih dikawal oleh pasukan pertahanan Ukraine walaupun terdapat cubaan pencerobohan oleh kumpulan kecil infantri Rusia.

Kementerian Pertahanan Rusia pula mendakwa telah memintas lebih 500 dron dan peluru berpandu Ukraine dalam serangan semalaman, sambil memberi amaran bahawa serangan terhadap kemudahan awam Rusia tidak akan dibiarkan tanpa tindak balas. 
 

 

Must Watch Video

Advertisement