PHILADELPHIA: Jaringan penalti Kylian Mbappe pada babak kedua memastikan Perancis menewaskan Paraguay 1-0 dalam aksi pusingan 16 terbaik Piala Dunia 2026 pada Sabtu, sekali gus mengesahkan tempat ke suku akhir.
Dalam perlawanan yang berlangsung dalam cuaca panas serta penuh aksi fizikal, kedua-dua pasukan bergelut mencari gol pembukaan sebelum Perancis akhirnya memecahkan kebuntuan pada minit ke-70.
Detik penentuan hadir apabila pemain gantian, Desire Doue, dijatuhkan oleh Diego Gomez ketika melakukan larian ke dalam kotak penalti Paraguay.
Selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR), pengadil menghadiahkan sepakan penalti kepada Perancis.
Mbappe yang mengambil sepakan tersebut tidak mensia-siakan peluang apabila mudah menewaskan penjaga gol Paraguay dengan menghantar bola ke arah bertentangan.
Jaringan itu merupakan gol ketujuh Mbappe dalam kejohanan kali ini, menyaksikan kapten Perancis itu menyamai pencapaian bintang Argentina, Lionel Messi, sebagai penjaring terbanyak setakat ini dalam saingan Piala Dunia 2026.
Paraguay memberikan tentangan sengit sepanjang perlawanan dengan mempertahankan kubu mereka secara disiplin dan berjaya mengehadkan peluang pasukan bimbingan Didier Deschamps untuk sebahagian besar permainan.
Penjaga gol Paraguay, Orlando Gill, turut mempamerkan aksi cemerlang termasuk beberapa siri menyelamat penting terhadap percubaan Mbappe pada penghujung perlawanan bagi memastikan jurang gol kekal minimum.
Kemenangan itu membolehkan Perancis mara ke suku akhir Piala Dunia buat edisi keempat berturut-turut dan akan berdepan Maghribi, yang sebelum itu menewaskan Kanada 3-0.