Skip to main content
Advertisement

Dunia

Ribuan hadir peringatan Khamenei, Iran tekad teruskan perjuangan

A portrait of late Supreme Leader Ayatollah Ali Khamenei, who was killed on February 28 in Israeli and U.S. airstrikes, hangs at the Imam Khomeini Grand Mosalla, as mourners attend a public farewell ceremony, in Tehran, Iran July 4, 2026. REUTERS/Alkis Konstantinidis
Potret Pemimpin Tertinggi Iran, Allahyarham Ayatollah Ali Khamenei, yang terbunuh dalam serangan udara Israel dan AS pada 28 Februari lalu, dipamerkan di Kompleks Grand Mosalla ketika orang ramai menghadiri majlis penghormatan terakhir secara awam di Tehran. - Foto REUTERS

TEHRAN: Iran memulakan upacara penghormatan besar-besaran bagi memperingati bekas Pemimpin Tertinggi, Allahyarham Ayatollah Ali Khamenei, di ibu negara dengan pihak berkuasa menekankan mesej kesinambungan Republik Islam serta tekad untuk membalas kematiannya.

Ribuan orang mula membanjiri Kompleks Grand Mosalla di Tehran sejak awal pagi Sabtu untuk memberi penghormatan terakhir kepada Khamenei, yang terbunuh dalam serangan udara pada permulaan perang melibatkan Iran, Amerika Syarikat (AS) dan Israel pada 28 Februari lalu, selepas hampir 37 tahun menerajui negara itu.

Bendera merah yang sering dikaitkan dengan kesyahidan dan semangat pembalasan dalam tradisi Syiah kelihatan menghiasi kawasan upacara serta beberapa lokasi perhimpunan besar lain di seluruh negara.

Pihak penganjur menggunakan slogan rasmi “Kita Harus Bangkit” bagi upacara berkenaan, disertai imej penumbuk Khamenei berlatarbelakangkan warna merah dan hitam.

Keranda Khamenei dibawa ke lokasi penghormatan dengan sebuah lori sebelum ditempatkan di tengah pentas utama.

Keranda itu dibaluti bendera dan diletakkan di atas platform tinggi yang dikelilingi kaca keselamatan serta dikawal anggota Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC).

Pihak berkuasa turut mengambil langkah keselamatan ketat bagi mengawal orang ramai yang cuba menghampiri keranda pemimpin berkenaan.

Lelaki dan wanita dipisahkan oleh penghadang besar bagi mematuhi nilai-nilai Islam, manakala laungan keagamaan serta slogan dimainkan menerusi pembesar suara di seluruh kawasan kompleks.

Rakaman yang disiarkan media kerajaan menunjukkan kumpulan orang ramai melaungkan slogan “Maut kepada Amerika” dan “Maut kepada Israel” di beberapa stesen metro sekitar Tehran.

Seorang wanita berusia 55 tahun yang dikenali sebagai Fatemeh berkata beliau hadir untuk menuntut pembalasan terhadap kematian pemimpin itu.

“Kami semua berada di sini untuk menuntut pembalasan darah pemimpin kami,” katanya sambil menunggu untuk memasuki kompleks berkenaan.

Beliau turut menyatakan sokongannya kepada Mojtaba Khamenei, yang dipilih sebagai Pemimpin Tertinggi baharu selepas kematian bapanya.

Sementara itu, kawalan keselamatan diperketatkan di seluruh ibu negara dengan kehadiran kenderaan berperisai, senjata berat dan penembak tepat di sekitar lokasi upacara.

Setiap pengunjung lelaki diperiksa secara fizikal sebelum memasuki kompleks, manakala beberapa barangan elektronik dirampas oleh pasukan keselamatan.

Mojtaba Khamenei dilaporkan tidak akan menghadiri upacara pengebumian atas faktor keselamatan.

Media kerajaan menyatakan kematian Khamenei telah menyatukan semula penyokong Republik Islam yang memerintah Iran sejak Revolusi 1979.

Pihak berkuasa menjangkakan kehadiran orang ramai yang besar, seumpama upacara pengebumian Allahyarham Ayatollah Ruhollah Khomeini pada 1989.

Ribuan stesen perkhidmatan keagamaan sementara atau 'mokebs' turut didirikan di sekitar Tehran bagi menyediakan minuman percuma, kemudahan penyejukan dan keperluan asas kepada para pelayat yang berdepan suhu mencecah 36 darjah Celsius.

Kerajaan Iran turut mengumumkan cuti umum sehingga Isnin dan menjangkakan sehingga 10 juta rakyat akan mengambil bahagian dalam upacara peringatan di seluruh negara.

Jenazah Khamenei dijadual dibawa melalui beberapa lokasi di Tehran pada Isnin sebelum melalui beberapa bandar suci Syiah termasuk Qom, Najaf dan Karbala.

Proses pengebumian dijangka berlangsung di bandar kelahirannya, Mashhad, pada Khamis.

Dalam perkembangan berkaitan, Komander Tertinggi IRGC, Ahmad Vahidi, menggesa rakyat Iran berkabung bagi menunjukkan kepada musuh bahawa negara itu tidak akan menyerah kalah.

Beliau menegaskan darah pemimpin yang terbunuh itu akan menjadi titik baharu dalam perjuangan Republik Islam menentang musuh-musuhnya.

Beberapa delegasi asing turut hadir di Tehran untuk memberikan penghormatan, termasuk Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif.

Malaysia pula diwakili Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.

Turut kelihatan wakil kumpulan yang bersekutu dengan Iran seperti Hamas, Houthi dan Hezbollah.
 

 

Must Watch Video

Advertisement