Skip to main content

Sukan

Kecederaan lutut paksa Serena tarik diri daripada beregu Wimbledon

Serena Williams of the United States greets the audience as she leaves after losing to Maya Joint of Australia in their first round women's singles match at the Wimbledon Tennis Championships in London, Tuesday, June 30, 2026. (AP Photo/Maja Smiejkowska)
Serena Williams, melambai kepada penonton ketika meninggalkan gelanggang selepas tewas kepada pemain Australia, Maya Joint, dalam perlawanan perseorangan wanita pusingan pertama Kejohanan Tenis Wimbledon di London. - Foto AP

LONDON: Hasrat peminat tenis untuk menyaksikan gandingan legenda Serena dan Venus Williams di Wimbledon tidak kesampaian apabila Serena Williams menarik diri daripada acara beregu wanita akibat kecederaan lutut.

Serena, 44, dan kakaknya Venus dijadual beraksi dalam pusingan pertama beregu menentang pasangan Camila Osorio dari Colombia dan Solana Sierra dari Argentina, yang sepatutnya menjadi penampilan pertama mereka bersama di gelanggang Grand Slam sejak 2022.

Bagaimanapun, juara 23 gelaran perseorangan Grand Slam itu mengesahkan beliau tidak dapat meneruskan saingan selepas mengalami masalah lutut ketika tewas kepada pemain Australia, Maya Joint, dalam aksi perseorangan pusingan pertama awal minggu ini.

“Saya amat kecewa kerana terpaksa menarik diri daripada acara beregu. Peluang untuk kembali bersaing dan bermain bersama Venus sekali lagi sangat bermakna buat saya,” kata Serena menerusi hantaran di Instagram.

Beliau berkata telah melakukan segala usaha untuk pulih sepenuhnya, namun lututnya masih belum berada pada tahap yang membolehkan beliau beraksi secara kompetitif.

Menurut laporan, kecederaan itu menyebabkan lutut Serena membengkak dengan cepat selepas perlawanan menentang Joint.

Dalam hantaran media sosialnya, beliau turut berkongsi gambar lutut yang dibalut serta picagari yang digunakan untuk mengeluarkan cecair daripada kawasan berkenaan.

Pihak penganjur Wimbledon dilaporkan memberi masa tambahan kepada Serena untuk membuat keputusan mengenai penyertaannya dalam acara beregu, malah perlawanan pasangan adik-beradik Williams itu tidak diberikan slot gelanggang lebih awal bagi membolehkan beliau menilai tahap kecergasan semasa.

Penarikan diri Serena sekali gus menamatkan peluang peminat menyaksikan satu lagi penampilan ikonik pasangan Williams, yang telah memenangi enam gelaran beregu Wimbledon serta mengumpul 12 gelaran perseorangan di All England Club sepanjang karier mereka.

Serena turut merakamkan penghargaan kepada pengarah kejohanan Wimbledon, Jamie Baker, dan para penyokong yang memberi sokongan sepanjang kemunculannya semula di gelanggang tenis.

Walaupun belum mengesahkan perancangan seterusnya, Serena memberi bayangan bahawa beliau masih belum menutup tirai kariernya sepenuhnya, sekali gus mencetuskan spekulasi mengenai kemungkinan beraksi dalam siri gelanggang keras Amerika Utara menjelang Terbuka Amerika Syarikat (AS) hujung Ogos ini.
 

 

Must Watch Video

Advertisement