STOCKHOLM: Ratu Sonja dari Norway menyambut ulang tahun keputeraan baginda yang ke-89 bersama keluarga sempena cuti musim panas tahunan keluarga diraja, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Istana Diraja Norway memaklumkan kepada agensi berita NTB pada Sabtu bahawa sambutan hari istimewa itu diadakan secara tertutup.
Sejak kebelakangan ini, rakyat Norway semakin bimbang terhadap tahap kesihatan ratu berkenaan.
Pada penghujung Mei lepas, permaisuri kepada Raja Harald V dimasukkan ke hospital akibat masalah jantung.
Bagaimanapun, baginda kini kembali menjalankan tugas rasmi bersama Pemerintah Norway.
Walaupun usia mereka semakin lanjut dan berdepan masalah kesihatan, pasangan diraja itu masih memainkan peranan yang sangat aktif dalam institusi diraja.
Ramai menganggap pasangan diraja itu sebagai tonggak kestabilan ketika keluarga diraja Norway berdepan tempoh yang mencabar.
Puteri Mahkota Mette-Marit baru sahaja menjalani pembedahan pemindahan paru-paru, anak lelakinya, Marius Borg Hoiby, dijatuhi hukuman penjara selama empat tahun beberapa minggu lepas, manakala puteri pasangan diraja itu menerima kritikan selepas membenarkan perkhidmatan penstriman Netflix membuat liputan majlis perkahwinannya dengan seorang individu yang menggelarkan dirinya sebagai bomoh.
-- BERNAMA-dpa