Skip to main content

Sukan

Klopp bersedia, namun proses capai persetujuan jadi jurulatih Jerman ambil masa

Soccer Football - FIFA World Cup 2026 - Group E - Germany v Curacao - Houston Stadium, Houston, Texas, U.S. - June 14, 2026 Red Bull's Global Head of Soccer Juergen Klopp takes a photograph inside the stadium after the match REUTERS/Annegret Hilse
Bekas pengendali Borussia Dortmund dan Liverpool itu sememangnya sentiasa diletakkan sebagai calon utama untuk melatih skuad kebangsaan Jerman sebelum ini. - Foto fail/REUTERS

NEW YORK: Jurgen Klopp mengesahkan beliau kini sedang mengadakan perbincangan dengan Persatuan Bola Sepak Jerman (DFB) untuk menggalas tanggungjawab sebagai jurulatih skuad kebangsaan bagi menggantikan Julian Nagelsmann, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Klopp menerusi kenyataan di saluran MagentaTV berkata perkara itu akan memakan masa dan "ia memerlukan perbincangan yang mendalam kerana masalah yang dihadapi ketika ini tiada kaitan dengan peribadi Julian Nagelsmann."

Terdahulu pada Jumaat, DFB mengumumkan bahawa Nagelsmann meletak jawatan selepas hampir tiga tahun mengemudi pasukan susulan kekalahan mengejut Jerman kepada Paraguay menerusi penentuan sepakan penalti dalam pusingan 32 terakhir Piala Dunia.

Bekas pengendali Borussia Dortmund dan Liverpool itu sememangnya sentiasa diletakkan sebagai calon utama untuk melatih skuad kebangsaan Jerman sebelum ini. 

Beliau kini memegang jawatan sebagai Ketua Bola Sepak Global di Red Bull dan tidak terlibat dalam dunia kejurulatihan sejak meninggalkan Liverpool pada musim panas 2024.

"Tenaga saya kini telah pulih sepenuhnya, jadi saya sudah bersedia," kata Klopp.

Klopp turut memuji Nagelsmann sebagai seorang "jurulatih yang luar biasa" dan berkata situasi berkenaan pasti berbeza jika Jerman tidak tewas kepada Paraguay.

"Namun, apa yang berlaku telah pun berlaku. Julian telah meletak jawatan dan DFB sedang berusaha melantik pengganti. Sebagai sebahagian daripada pertimbangan mereka, mereka telah menghubungi saya," katanya.

Beliau menambah bahawa beliau telah berbincang dengan ketuanya di Red Bull, Oliver Mintzlaff, dan satu jalan penyelesaian perlu dicapai. Klopp mempunyai kontrak bersama Red Bull sehingga tahun 2029.

"Sebaik-baiknya, pada akhirnya semua pihak mendapat keuntungan daripada situasi sebegini; kita hanya perlu memastikan Red Bull juga keluar daripada perkara ini dengan reputasi yang kekal terpelihara," kata Klopp.

-- BERNAMA-dpa

 

TAG: Jerman, bola sepak, DFB, Klopp

Must Watch Video

Advertisement