Skip to main content

Dunia

Piala Dunia 2026: Ghana sepi selepas tersingkir

Soccer Football - FIFA World Cup 2026 - Round of 32 - Colombia v Ghana - Fans gather in Accra - Accra, Ghana - July 4, 2026 Ghana fans watch on in Osu, Accra during the match REUTERS/Francis Kokoroko
Penyokong Ghana menonton perlawanan bola sepak Piala Dunia antara Colombia dan Ghana di Osu, Accra, 4 Julai 2026. REUTERS

ACCRA: Suasana di jalan-jalan sekitar ibu negara Ghana, Accra, bertukar sepi selepas skuad bola sepak lelaki kebangsaan negara itu, Black Stars, tersingkir daripada saingan Piala Dunia pada awal pagi Sabtu, lapor Agensi Berita Xinhua.

Sorakan kegembiraan yang biasanya membingitkan suasana di jalanan, pub, restoran dan kawasan perumahan setiap kali pasukan itu beraksi, kini langsung tidak kedengaran sejurus berakhirnya perlawanan pusingan 32 terakhir antara Ghana dan Colombia.

Peminat bola sepak yang sanggup berjaga malam demi menyaksikan aksi Black Stars bermula pukul 1.30 pagi GMT, dilaporkan terus beredar meninggalkan kawasan jalanan untuk tidur selepas kekecewaan itu.

Menurut beberapa peminat, kemenangan wakil Amerika Selatan itu ke atas pasukan Afrika Barat berkenaan sememangnya layak memandangkan Colombia mempamerkan aksi yang lebih bertenaga sepanjang perlawanan.

Seorang peminat, Mustapha Iddrisu berkata: "Saya rasa Ghana tidak melakukan usaha yang cukup untuk memenangi perlawanan ini, dan jika bukan kerana kecekapan Lawrence Ati-Zigi (penjaga gol), keadaan mungkin menjadi lebih buruk."

Seorang lagi peminat, George Otabil, yang kelihatan amat kecewa, berkata: "Walaupun saya hampa dengan kekalahan Ghana, saya harus akui Colombia bermain lebih baik daripada kami dan layak untuk melangkah ke peringkat seterusnya dalam Piala Dunia."

Colombia menewaskan Ghana 1-0 dalam aksi pusingan 32 terakhir pada Piala Dunia FIFA 2026 yang berlangsung di Stadium Kansas City, Amerika Syarikat, awal pagi Sabtu.

Setakat ini, Ghana telah membuat lima penampilan di pentas Piala Dunia, dengan pencapaian terbaik mereka adalah mara hingga ke peringkat suku akhir pada edisi 2010 di Afrika Selatan. Sejak tahun 2010, juara Afrika empat kali itu sering kali gagal melepasi peringkat kumpulan.

-- BERNAMA-XINHUA

 

 

Must Watch Video

Advertisement