Skip to main content

Sukan

Trump bantu sampaikan trofi Piala Dunia bersama Presiden FIFA

President Donald Trump, left, and FIFA President Gianni Infantino watch confetti fall at the conclusion of the World Cup championship final soccer match between Spain and Argentina in East Rutherford, N.J., Sunday, July 19, 2026. (AP Photo/Jacquelyn Martin)
Trump (kiri), dan Infantino menyaksikan konfeti berterbangan selepas tamat perlawanan akhir Piala Dunia antara Sepanyol dan Argentina di East Rutherford, New Jersey. - Foto AP

EAST RUTHERFORD: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, membantu Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino, menyampaikan pingat dan trofi selepas Sepanyol menewaskan Argentina 1-0 dalam perlawanan akhir Piala Dunia 2026 di Stadium New York New Jersey pada Ahad.

Kira-kira 25 minit selepas tamat perlawanan, Trump, Infantino dan beberapa pegawai lain memasuki padang sebelum menaiki pentas khas yang disediakan untuk upacara penyampaian hadiah.

Trump, yang menyaksikan perlawanan dari kotak mewah bersama Infantino dan tetamu jemputan lain, menerima sorakan bercampur dan ejekan daripada sebahagian penonton ketika muncul di stadium.

Bagaimanapun, suasana kembali tenang apabila majlis penyampaian pingat bermula.

Berdiri di sebelah Infantino, Trump membantu menyampaikan pingat kepada pemain dan pegawai Argentina selaku naib juara sebelum giliran skuad Sepanyol menerima penghormatan sebagai juara dunia.

Ketika pemain Sepanyol bersedia menjulang Trofi Piala Dunia, Trump masih berada di atas pentas.

Namun, Infantino dilihat menghampirinya dan mengisyaratkan supaya beliau beredar ke bahagian tepi pentas sebelum detik sambutan kejuaraan berlangsung.

Situasi itu berbeza dengan final Piala Dunia Kelab FIFA 2025 apabila Trump kekal berada di tengah-tengah kumpulan pemain Chelsea yang meraikan kemenangan 3-0 ke atas Paris Saint-Germain selepas perlawanan tersebut.

Perlawanan akhir itu merupakan satu-satunya aksi Piala Dunia 2026 yang dihadiri Trump, walaupun beliau memainkan peranan lebih menonjol menjelang kejohanan tersebut.

Pada Disember tahun lalu, Trump menerima Anugerah Keamanan FIFA yang pertama daripada Infantino semasa majlis undian Piala Dunia.

Berbeza dengan Trump, Infantino menghadiri banyak perlawanan sepanjang kejohanan yang melibatkan 48 pasukan dan 104 perlawanan itu.

Dalam perlawanan akhir, Sepanyol muncul juara dunia buat kali kedua selepas Ferran Torres menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-106 masa tambahan untuk memastikan kemenangan 1-0 ke atas Argentina.

Kejayaan itu mengulangi pencapaian mereka pada 2010 apabila menewaskan Belanda dengan jaringan tunggal dalam masa tambahan.
 

 

Must Watch Video

Advertisement