Skip to main content

Malaysia

Dari anak angkat ke artis SN Legacy, Odda dipilih kerana bakat, bukan sebab kabel keluarga

Sumber: SN Legacy
Siti Nurhaliza (kiri) mengakui, sangat gembira dan berbangga melihat potensi bakat seni dalam diri Odda. - Gambar ihsan SN Legacy

KUALA LUMPUR: Status sebagai anak angkat Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza bukan tiket mudah buat penyanyi muda, Odda, untuk melangkah jauh dalam industri seni.

Sebaliknya, Siti Nurhaliza menegaskan, pemilihan Odda untuk bernaung di bawah syarikat rakamannya, SN Legacy (SNL), dibuat berasaskan bakat, potensi dan kesungguhan yang ditunjukkan penyanyi itu sejak awal pembabitannya dalam bidang hiburan. 

Menurut beliau, walaupun Odda dibesarkan dalam keluarga seni dan dikenali ramai sejak kecil, kejayaan yang dicapai hari ini adalah hasil usaha yang dibina sendiri.

"Bagi saya, kita tidak boleh kata dia tidak layak. Kalau tidak layak, saya tidak akan pilih dia. Memang dia lahir dalam keluarga seni dan saya juga mengambilnya sebagai anak angkat sejak kecil, tetapi selebihnya dia perlu membuktikan sendiri kemampuan serta identiti muzik yang mahu dibawa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran single sulung Odda bersama SNL berjudul Gelanggang Rasa, di sini, pada Selasa.

Siti Nurhaliza berkata, antara faktor yang mendorong beliau mengambil Odda sebagai artis naungan ialah perkembangan positif yang ditunjukkan penyanyi itu, termasuk ketika menyertai program Talk To My Manager sebelum menyertai SNL. 

Katanya, Odda bukan sahaja berjaya menarik perhatian melalui persembahan yang konsisten, malah telah membina kelompok peminat tersendiri hasil usaha berterusan dalam bidang seni.

Menurut Siti Nurhaliza, hubungan kekeluargaan yang wujud antara mereka boleh dianggap sebagai satu bonus, namun ia bukan penentu utama dalam menentukan hala tuju kerjaya seseorang artis.

"Saya mahu dia membina imej, populariti dan reputasi berdasarkan bakat sendiri. Kabel keluarga mungkin satu bonus, tetapi akhirnya masyarakat dan peminat akan menilai hasil kerja serta kemampuan yang ditunjukkan.

"Saya juga mahu dia membuktikan kemampuan seperti Umairah yang berjaya mencipta nama sehingga ke peringkat antarabangsa," katanya.

Dalam pada itu, Siti Nurhaliza mengakui, proses menghasilkan dan melancarkan Gelanggang Rasa bukan sesuatu yang mudah berikutan jadual kerja Odda yang padat sebagai penyanyi, pelakon dan pengacara.

"Saya bangga dengan Odda. Pada usia muda, dia sangat kuat bekerja. Rakaman lagu ini sebenarnya telah dirancang lebih awal, namun disebabkan komitmen kerjayanya yang banyak, proses itu mengambil masa sebelum akhirnya berjaya direalisasikan," katanya.

Mengulas lanjut, Siti Nurhaliza berkata, Odda kini memikul tanggungjawab yang lebih besar apabila semakin mendapat perhatian dalam industri hiburan. 

Justeru, beliau berharap penyanyi itu dapat mengurus masa dengan baik sambil terus fokus mengejar impian dalam bidang seni.

"Dia mempunyai visi dan cita-cita sendiri. Selagi dia berada di landasan yang betul dan terus bekerja keras, saya percaya dia mampu mencapai apa yang diimpikan," katanya.

Menyentuh mengenai potensi yang dimiliki Odda, Siti Nurhaliza berkata, penyanyi itu mempunyai keunikan tersendiri dan tidak perlu meniru mana-mana artis lain untuk berjaya.

"Saya nampak kelebihan yang ada pada Odda. Dia mempunyai pakej suara yang baik, boleh menari dan mempunyai identiti tersendiri. Sebab itu saya memilih lagu seperti Gelanggang Rasa kerana ia sesuai dengan kekuatannya.

"Saya harap peminat dapat menerima penampilan serta muzik baharu yang dibawakan dan melihat sendiri potensi yang dimilikinya," katanya.

Must Watch Video

Advertisement