Skip to main content

Malaysia

6,951 belia Sabah terima bantuan SYABAS berjumlah RM21 juta

KOTA KINABALU, 18 Mac -- Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Industri Kreatif Sabah Datuk Nizam Abu Bakar Titingan ketika mengadakan sidang media mengenai Sambutan Haji Lahir Yang Dipertua Negeri Sabah di Kompleks Bersepadu Kementerian Komunikasi Kota Kinabalu hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Menurut Nizam, melalui bantuan SYABAS, ramai anak muda Sabah menjadi usahawan berjaya sehingga ada di antara mereka memperoleh pendapatan mencecah jutaan ringgit. - Gambar fail/Bernama

KOTA KINABALU: Sebanyak 6,951 belia di seluruh Sabah menerima bantuan Skim Jaya Usahawan Belia Sabah (SYABAS) membabitkan peruntukan RM21 juta sejak skim itu diperkenalkan pada 2022, persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah diberitahu hari ini.

Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata penerima bantuan berkenaan menjalankan pelbagai jenis perniagaan, termasuk 64 usahawan belia di kawasan DUN Nabawan.

“Melalui bantuan SYABAS ini, ramai anak muda Sabah menjadi usahawan berjaya sehingga ada di antara mereka memperoleh pendapatan mencecah jutaan ringgit. Produk mereka juga dipasarkan hingga ke luar negara.

“Antara penerima yang berjaya ialah Amran Jining dari daerah Keningau yang mengusahakan tanaman hidroponik sayuran, Erliana Said dari Tawau yang mengusahakan perusahaan bakeri, roti, kek, dan pastri serta Sitti Fatimah Janna yang merupakan usahawan kosmetik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin (GRS-Nabawan) mengenai jumlah penerima SYABAS serta program berkaitan belia yang dilaksanakan di kawasan berkenaan.

Nizam berkata kementeriannya turut menyediakan program susulan berbentuk bimbingan, pemantauan dan pembangunan kapasiti kepada penerima SYABAS bagi memastikan mereka mampu memulakan atau mengembangkan perniagaan serta menjana pendapatan secara mampan.

Beliau berkata kementerian turut menyediakan pangkalan data penerima skim berkenaan yang mengandungi maklumat berkaitan nama penerima, jenis perniagaan dan pendapatan mereka.

Katanya, kerjasama strategik dengan agensi kerajaan, institusi latihan dan sektor swasta turut diperkukuh bagi memperluas peluang latihan serta pekerjaan dalam sektor pelancongan, pertanian, perindustrian, pembinaan, logistik, akuakultur, perikanan, digital dan ekonomi kreatif.

Dalam perkembangan berasingan, Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Dr Andi Md Shamsureezal Mohd Sainal berkata Tahun Melawat Sabah 2027 diangkat sebagai agenda strategik kerajaan negeri bukan sahaja untuk meningkatkan ketibaan pelancong, malah merancakkan pertumbuhan ekonomi secara inklusif merentasi pelbagai sektor.

Beliau berkata kementerian sedang merangka pendekatan menyeluruh dengan memberi penekanan kepada pembangunan rantaian nilai pelancongan meliputi sektor penginapan, pengangkutan, makanan dan minuman, kraf tangan serta produk pelancongan berasaskan komuniti.

Pendekatan itu, katanya, penting bagi memastikan manfaat ekonomi daripada kempen berkenaan dapat diagihkan secara lebih meluas sehingga ke peringkat akar umbi.

Dr Andi Md Shamsureezal berkata sesi libat urus bersama pemain industri sedang dilaksanakan bagi meneliti program dan aktiviti yang akan dijalankan sempena kempen berkenaan.

Beliau berkata Lembaga Pelancongan Sabah akan mempergiat promosi dan pemasaran secara bersasar, termasuk membantu memasarkan pakej pelancongan tempatan, memperluas akses pasaran kepada pengusaha kecil serta menyediakan insentif dan sokongan promosi kepada pemain industri, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta komuniti setempat.

Dr Andi Md Shamsureezal berkata demikian ketika menjawab soalan Samuel Wong Tshun Chuen (Warisan-Luyang) pada persidangan DUN itu.

Katanya, promosi Tahun Melawat Sabah 2027 akan dilaksanakan berasaskan empat kerangka utama, iaitu budaya, pengembaraan, alam semula jadi dan kelestarian, manakala jadual program kempen berkenaan dijangka dikeluarkan pada hujung tahun ini.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement