Skip to main content

Malaysia

Pengambilan pekerja guna AI: Majikan perlu perkukuh verifikasi, pengawasan manusia - MEF

Presiden MEF - Datuk Syed Hussain Syed Husman -- MEF
Menurut MEF, antara kebimbangan utama, katanya, ialah peningkatan penggunaan resume, surat iringan dan bahan permohonan lain yang dijana oleh AI. - Foto Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF)

KUALA LUMPUR: Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) menggesa majikan memperkukuh proses verifikasi dan mengekalkan pengawasan manusia dalam pengambilan pekerja ketika kecerdasan buatan (AI) semakin pesat mengubah amalan pengambilan pekerja.

Presiden MEF Datuk Dr Syed Hussein Syed Husman berkata kaedah pengambilan pekerja yang menggunakan AI telah meningkatkan kecekapan proses pengambilan pekerja dengan ketara menerusi keupayaan menapis permohonan kerja dengan lebih pantas, mengenal pasti calon yang sesuai dengan lebih berkesan serta mengurangkan beban kerja pentadbiran.

Beliau berkata bagaimanapun penggunaan AI yang semakin meluas dalam kalangan pencari kerja telah mewujudkan cabaran baharu yang boleh menjejaskan integriti proses pengambilan pekerja sekiranya tidak ditangani dengan teliti.

Antara kebimbangan utama, katanya, ialah peningkatan penggunaan resume, surat iringan dan bahan permohonan lain yang dijana oleh AI yang mungkin membesar-besarkan atau menggambarkan secara tidak tepat kelayakan, kemahiran dan pengalaman kerja seseorang calon.

“Walaupun pemohon sentiasa berusaha menampilkan diri mereka dalam cara yang terbaik, AI generatif kini membolehkan permohonan kerja yang sangat kemas dan meyakinkan dihasilkan dengan pantas, sekali gus menyukarkan majikan menilai keupayaan sebenar seseorang calon,” katanya kepada Bernama dalam temu bual eksklusif baru-baru ini.

Syed Hussein mengulas laporan Bernama baru-baru ini, memetik Indeks Risiko Saringan Latar Belakang Kebangsaan (NBSRI) yang mendedahkan 15 peratus calon pekerjaan yang disaring mempunyai sekurang-kurangnya satu percanggahan dalam rekod mereka, termasuk sejarah pekerjaan tidak tepat, kelayakan palsu dan isu berkaitan identiti.

Indeks yang disusun pakar saringan latar belakang Venovox Sdn Bhd berdasarkan kira-kira 300,000 titik data saringan yang merangkumi 20 industri, mendapati percanggahan yang dikenal pasti termasuk sejarah pekerjaan yang tidak tepat, kelayakan palsu, isu berkaitan identiti, ketidakteraturan kewangan dan kebimbangan berkaitan reputasi.

Syed Hussein turut menekankan kemunculan teknologi deepfake dan manipulasi identiti digital sebagai ancaman yang semakin meningkat, khususnya apabila pengambilan pekerja secara jarak jauh dan hibrid semakin menjadi kebiasaan.

Beliau berkata majikan berdepan risiko yang lebih besar seperti penyamaran identiti semasa temu duga maya, paparan video yang diubah suai, suara sintetik dan bentuk penipuan digital lain, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap kesahihan calon serta kebolehpercayaan proses pengambilan pekerja dalam talian.

“AI seharusnya berperanan sebagai alat untuk menyokong proses pengambilan pekerja dan bukannya menggantikan pertimbangan manusia. Majikan perlu mengelakkan kebergantungan berlebihan terhadap sistem saringan automatik dan terus melibatkan penilaian manusia pada peringkat penting dalam proses pengambilan pekerja,” katanya.

Bagi memperkukuh integriti pengambilan pekerja sambil mengekalkan kecekapan proses tersebut, Syed Hussein berkata MEF mengesyorkan agar majikan menggunakan langkah pengesahan identiti yang lebih kukuh, termasuk mengesahkan dokumen pengenalan rasmi serta menjalankan interaksi video secara langsung atau penilaian bersemuka bagi jawatan penting yang bersesuaian.

Beliau berkata persekutuan itu turut menggalakkan majikan supaya tidak hanya bergantung pada penilaian berasaskan resume, sebaliknya menggabungkan proses penilaian pelbagai peringkat seperti ujian teknikal, penilaian kemahiran, sampel kerja, kajian kes dan temu duga berasaskan kompetensi bagi mengesahkan keupayaan sebenar pemohon.

Syed Hussein berkata penekanan yang lebih besar juga perlu diberikan terhadap pengesahan kelayakan akademik dan sejarah pekerjaan melalui semakan rujukan, pengesahan kelayakan serta pengesahan rekod kerja terdahulu.

Beliau berkata perekrut dan pengurus pengambilan pekerja perlu dilengkapi dengan pengetahuan serta alat yang diperlukan bagi mengesan manipulasi berkaitan AI dengan mengenal pasti ketidakselarasan antara bahan permohonan, prestasi temu duga dan kompetensi yang ditunjukkan.

“Walaupun inovasi tidak seharusnya disekat, langkah perlindungan yang sewajarnya perlu dilaksanakan bagi mengekalkan kepercayaan terhadap proses pengambilan pekerja serta melindungi kedua-dua majikan dan pencari kerja yang benar-benar layak,” katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement