Skip to main content

Politik

PRN Negeri Sembilan: Ahmad Faez sasar santuni 100 keluarga sehari, dengar kehendak rakyat

[TB]_calon PH DUN Labu, Datuk Faez_ASTRO AWANI
Menurut Ahmad Faez, pendekatan itu turut dibantu oleh pengalaman beliau berkhidmat sebagai penyelaras DUN Labu selama dua tahun lapan bulan. - Gambar/ Astro AWANI

SEREMBAN: Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Labu, Datuk Ahmad Faez Abdul Rahman meletakkan sasaran untuk menyantuni 100 keluarga sehari bagi mendengar sendiri denyut nadi dan kehendak rakyat.

Beliau berkata, sasaran itu bukan ditetapkan oleh parti, sebaliknya merupakan petunjuk prestasi (KPI) peribadi bagi memastikan tempoh 14 hari kempen dimanfaatkan sepenuhnya untuk mendekati pengundi.

“Daripada sini kita boleh tahu penerimaan orang dan kita boleh baca sentimen mereka.

“Ini sebenarnya pusingan pertama strategi saya dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 ini. 

"Pendekatan sekarang adalah pergi rumah ke rumah. Kita tengok sebanyak mana sokongan kita ada. Pusingan kedua nanti kita akan lebih agresif,” katanya ketika ditemui Astro AWANI, di sini, pada Selasa.

Menurut Ahmad Faez, pendekatan itu turut dibantu oleh pengalaman beliau berkhidmat sebagai penyelaras DUN Labu selama dua tahun lapan bulan.

Katanya, sambutan yang diterima setakat ini amat menggalakkan.

Mengulas perancangannya sekiranya diberi mandat sebagai Ahli DUN (ADUN) Labu, Ahmad Faez berkata beliau akan memberi keutamaan untuk menyelesaikan projek yang tertangguh, selain memastikan manifesto PH dapat dilaksanakan.

Beliau berkata, antara fokus utama ialah membantu merealisasikan pembinaan sebuah hospital kerajaan baharu, selain meneruskan cadangan pembinaan Kompleks Sukan Labu yang dikatakan sudah mempunyai reka bentuk dan lokasinya dikenal pasti.

Beliau juga mahu menyelesaikan isu infrastruktur termasuk banjir dan pengurusan sampah di kawasan sekitar Labu.

Tambah Ahmad Faez, projek tebatan banjir di Labu yang dipersoalkan sesetengah pihak sebenarnya sedang melalui proses reka bentuk serta pengambilan tanah sebelum kerja pembinaan dapat dimulakan.

Dalam masa sama, beliau berkata kesesakan jalan di kawasan LBJ yang sering dilalui kenderaan muatan berat dijangka dapat dikurangkan apabila projek Nilai-Labu Expressway (NLE) siap, sekali gus mengalihkan trafik lori daripada melalui kawasan kampung.

Ahmad Faez akan berdepan saingan tiga penjuru iaitu penyandang daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Mohamad Hanifah Abu Baker dan calon Barisan Nasional daripada UMNO, Siti Nur Umaira Hasim.

Must Watch Video

Advertisement