TAMPIN: Kerjasama antara Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan dicadangkan menggunakan nama baharu, Perikatan Barisan Nasional (PBN).
Presiden Parti Wawasan Negara (WAWASAN), Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, cadangan itu bertujuan memudahkan rakyat mengenali gabungan tersebut sekali gus mengelakkan kekeliruan berhubung kerjasama yang terjalin antara PN dan BN.
Menurut beliau, penggunaan singkatan PBN dilihat lebih ringkas dan mudah disebut berbanding PN-BN, namun menegaskan perkara paling utama ialah semangat kebersamaan dalam kalangan parti yang bergabung untuk menawarkan pilihan baharu kepada rakyat Negeri Sembilan.
“Kita mahu namakan supaya orang tidak keliru lagi. Ramai yang susah menyebut PN-BN, jadi kita gunakan PBN sahaja. Tetapi yang lebih penting bukanlah nama itu, sebaliknya jiwa kebersamaan dalam menentukan masa depan Negeri Sembilan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Program Ceramah Perdana Pengenalan Calon BN-PN Parlimen Tampin di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Felda Bukit Rokan, di sini, malam tadi.
Hamzah berkata, apa juga nama yang digunakan, kekuatan sebenar gabungan itu terletak pada kesepakatan antara parti-parti yang terlibat bagi membentuk kerajaan negeri sekiranya memperoleh mandat rakyat pada PRN akan datang.
Menurutnya, PBN bakal membawa ‘gelombang biru’ untuk berdepan ‘gelombang merah’ yang dikaitkan dengan Pakatan Harapan (PH), sambil menyifatkan sokongan rakyat akan menjadi penentu kepada hala tuju pentadbiran negeri itu.
“Jika biru menjadi pilihan majoriti rakyat, Insya-Allah kita akan mengambil alih kerajaan Negeri Sembilan,” katanya.
Dalam pada itu, Hamzah memaklumkan, PN sejak awal bersetuju untuk memberi laluan kepada BN menerajui gabungan tersebut dan mengetuai kerajaan negeri sekiranya berjaya membentuk pentadbiran baharu.
Katanya, persefahaman yang dicapai antara kedua-dua gabungan membuktikan kesediaan mereka mengetepikan perbezaan demi mencapai matlamat bersama.
“Kami dalam PN bersetuju dari awal lagi supaya BN menerajuinya bersama-sama kami di Negeri Sembilan. Tidak ada masalah langsung sekiranya kita boleh bermuafakat seperti ini,” ujarnya.
Beliau turut menjelaskan, siri pertemuan antara pimpinan parti yang berlangsung lebih awal bertujuan menyelesaikan sebarang salah faham, kekecewaan atau isu lama yang mungkin masih berbangkit dalam kalangan akar umbi.
Menurutnya, langkah tersebut penting bagi memastikan seluruh jentera gabungan dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada gerak kerja pilihan raya dan usaha mendekati pengundi.
“Manusia mempunyai perasaan. Kadang-kadang ada rasa kecewa dan masalah yang berlaku dahulu. Kita boleh menyelesaikannya apabila bertemu dan berbincang.
“Pertemuan ini dibuat dari awal supaya selepas ini kita boleh turun ke lapangan dan bekerja keras untuk rakyat,” katanya.
Hamzah berkata, jentera gabungan juga perlu memainkan peranan memastikan pengundi memahami perancangan serta tawaran yang akan dibawa PBN untuk masa depan Negeri Sembilan.
Beliau berpandangan pembentukan kerajaan baharu menerusi saluran demokrasi mampu memberikan keyakinan kepada rakyat bahawa perubahan boleh dicapai melalui pilihan raya.
Bagaimanapun, Hamzah menegaskan cadangan penggunaan nama PBN masih di peringkat awal dan akan dibincangkan terlebih dahulu bersama pimpinan parti-parti yang terlibat sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.
“Ini baharu saya cadangkan hari ini. Saya akan berbincang dengan rakan-rakan dalam gabungan dan kita akan lihat perkembangan seterusnya,” katanya.