Skip to main content

Malaysia

Akta ILTIZAM: JPA perluas pelaksanaan, perkukuh kefahaman rentas agensi

PUTRAJAYA, 8 Julai -- Pengarah Bahagian Reformasi Sektor Awam Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Syuhaida Abdul Wahab Zen ditemu bual BERNAMA mengenai Akta Iltizam Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan 2025 (Akta ILTIZAM) baru-baru ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Syuhaida berkata, JPA turut bekerjasama dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Jabatan Kerajaan Tempatan untuk memasukkan elemen Akta ILTIZAM dalam penilaian sistem penarafan bintang pihak berkuasa tempatan (PBT). - Gambar Bernama

PUTRAJAYA: Usaha memperkukuh pelaksanaan Akta Iltizam Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan 2025 (Akta 867) atau dikenali sebagai Akta ILTIZAM kini memberi tumpuan kepada penyelarasan kefahaman dalam kalangan agensi kerajaan, pengembangan pelaksanaan di peringkat kerajaan negeri dan pemantauan terhadap pencapaian sasaran pengurangan beban kawal selia.

Pengarah Bahagian Reformasi Sektor Awam Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Syuhaida Abdul Wahab Zen berkata, penyelarasan kefahaman antara kementerian dan agensi merupakan aspek penting bagi memastikan tanggungjawab dan obligasi di bawah Akta ILTIZAM difahami serta dapat dilaksanakan dengan berkesan.

“Bila kita lihat kepada cabaran dalam pelaksanaan Akta ILTIZAM ini, yang pertama adalah dari segi kefahaman. Kita hendak memastikan keseragaman dari aspek kefahaman dan pelaksanaannya.

“Kami di pihak JPA bersama-sama Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) sentiasa mengadakan sesi libat urus dengan kementerian dan pegawai berkaitan bagi memastikan tanggungjawab ataupun obligasi ini difahami dan dapat dilaksanakan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Akta ILTIZAM yang berkuat kuasa bermula 1 Dis 2025 merupakan bukti komitmen Kerajaan MADANI dan di bawah tanggungjawab Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengurangkan birokrasi dan mempercepatkan penyampaian perkhidmatan awam melalui pelaksanaan akta dan penguatkuasaan pengurangan beban kawal selia.

Ia diperkenalkan sebagai langkah strategik bagi menangani isu kerenah birokrasi, pertindihan peraturan dan beban kawal selia yang selama ini menjadi cabaran utama kepada rakyat dan komuniti perniagaan dalam berurusan dengan jabatan dan agensi kerajaan.

Mengenai pelaksanaan Akta ILTIZAM di peringkat kerajaan negeri, Syuhaida berkata, perkembangan semasa menunjukkan komitmen yang menggalakkan apabila perkara itu telah mendapat persetujuan dasar di peringkat Mesyuarat Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan.

Beliau berkata, kerajaan negeri kini hanya perlu mendapatkan persetujuan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri sebelum akta berkenaan dapat diterima pakai di negeri masing-masing.

“Kesediaan itu memang ada, cuma pelaksanaan perlu melalui proses yang sewajarnya seperti dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri sebelum ia diguna pakai di peringkat negeri,” katanya.

Syuhaida berkata, JPA turut bekerjasama dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Jabatan Kerajaan Tempatan untuk memasukkan elemen Akta ILTIZAM dalam penilaian sistem penarafan bintang pihak berkuasa tempatan (PBT).

Selain itu, beliau berkata, usaha mencapai sasaran pengurangan beban kawal selia sebanyak 25 peratus turut diperkukuh melalui bimbingan berterusan oleh MPC kepada kementerian, agensi, pentadbiran kerajaan negeri dan PBT.

“Kita mahu memastikan pengurangan beban kawal selia itu dapat dicapai dan MPC memainkan peranan sebagai rakan strategik serta pembimbing untuk membantu agensi mengenal pasti ruang penambahbaikan dalam proses dan prosedur sedia ada,” katanya.

Ditanya mengenai harapan terhadap pelaksanaan Akta ILTIZAM, beliau berkata, kerajaan mahu akta itu menjadi pemangkin kepada penyampaian perkhidmatan awam bertaraf dunia menerusi pengurangan kerenah birokrasi, peningkatan kecekapan dan penyampaian perkhidmatan yang lebih berkualiti kepada rakyat, komuniti perniagaan dan penjawat awam.

“Kita mahu melihat perkhidmatan kerajaan Malaysia menjadi antara yang terbaik di dunia. Akta ini bukan bertujuan menambah lapisan birokrasi, sebaliknya mengurangkannya serta meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan. Kita harap ia menjadi satu dorongan yang tinggi dalam kalangan penjawat awam, kementerian dan entiti kerajaan untuk sentiasa menambah baik perkhidmatan,” katanya.

Bagi memastikan pelaksanaan akta itu dipacu secara menyeluruh, Jemaah Menteri menetapkan penggubalan dan pelaksanaan akta itu di bawah tanggungjawab Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dengan JPA sebagai agensi peneraju, manakala Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz bertanggungjawab memastikan pelaksanaannya berjalan dengan baik.

Syuhaida berkata, pengagihan tanggungjawab itu membolehkan pelaksanaan Akta ILTIZAM diperkasakan dari peringkat tertinggi pentadbiran negara hingga keseluruh perkhidmatan awam, sekali gus menyokong agenda reformasi perkhidmatan awam ke arah penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap dan bertaraf dunia menjelang 2030.

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement