Skip to main content

Malaysia

Kuari batu cemari sungai diarah henti operasi - JAS Kedah

Sumber: BERNAMA
Sharifah Zakiah berkata pihaknya telah menjalankan siasatan di lokasi dan mendapati aduan mengenai air sungai menjadi keruh disebabkan aktiviti kuari tersebut adalah berasas. - Foto BERNAMA

BANDAR BAHARU: Sebuah kuari batu di Kampung Padang, Mukim Sungai Kechil di sini diarah menghentikan operasi susulan aduan pencemaran air sungai yang diterima Jabatan Alam Sekitar (JAS), semalam.

Pengarah JAS Kedah, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata pihaknya telah menjalankan siasatan di lokasi dan mendapati aduan mengenai air sungai menjadi keruh disebabkan aktiviti kuari tersebut adalah berasas.

“Air sungai menjadi keruh berikutan kawalan mitigasi terhadap air larian permukaan di kawasan kuari terbabit tidak dijalankan mengikut pelan mitigasi yang telah diluluskan. 

“Air larian permukaan tidak memasuki longkang perimeter dan kolam mendapan sebaliknya terus memasuki sungai berdekatan, malah air daripada basuhan tayar lori juga terus memasuki sungai berdekatan menyebabkan air menjadi keruh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata arahan di lapangan sudah dikeluarkan selepas kuari tersebut didapati melanggar beberapa syarat kelulusan laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA).

“Tindakan akan disusuli dengan Notis Arahan di bawah Seksyen 31 dan 37, Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974.

“Sekiranya gagal mematuhi notis dalam tempoh yang ditetapkan, penggerak projek akan diambil tindakan lanjut di bawah Seksyen 34A(7) AKAS 1974 yang boleh membawa penalti antara RM100,000 hingga RM1Juta dan mandatori penjara hingga lima tahun,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement