Skip to main content

Politik

PRN Negeri Sembilan: Calon Bebas DUN Sri Tanjung akan didakwa susulan hantaran di media sosial

Sumber: FB Islah Wahyudi Zainudin
Islah Wahyudi berkata, pertuduhan ke atasnya akan dibuat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. - Gambar Facebook Islah Wahyudi Zainudin

SEREMBAN: Calon Bebas bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sri Tanjung pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16, Islah Wahyudi Zainudin memaklumkan, dirinya akan dihadapkan ke mahkamah berhubung hantaran di media sosial. 

Islah Wahyudi, 46, berkata, telah menerima notis berkaitan pertuduhan daripada pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) semalam, dan perlu hadir ke Mahkamah Sesyen Sepang, Selangor pada 11 Ogos. 

”Pegawai MCMC datang ke rumah saya pada tengah hari dan ia mengenai hantaran di media sosial Instagram pada Januari lepas. Saya akur dan akan hadir (ke mahkamah) seperti diarahkan.

“Saya bagaimanapun akan meneruskan kempen dalam tempoh PRN,” katanya kepada Bernama, di sini hari ini.

Islah Wahyudi berkata, pertuduhan akan dibuat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Pada PRN kali ini, Islah Wahyudi berhadapan saingan lima penjuru membabitkan penyandang kerusi itu Datuk Dr G. Rajasekaran daripada Pakatan Harapan (PH), A. Achuthan (Barisan Nasional - BN), M. Leevineshwaraan (Parti Pribumi Bersatu Malaysia - Bersatu) dan Datuk A. Saravanan (Bebas).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan pengundian awal bagi PRN Negeri Sembilan pada 28 Julai manakala hari mengundi pada 1 Ogos.

Bagi mendapatkan berita terkini PRN Negeri Sembilan ke-16, layari https://prn.bernama.com/n9.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement