ALGIERS: Kebakaran hutan yang melanda utara Algeria meragut enam nyawa ketika negara itu terus berdepan gelombang haba berpanjangan, lapor Xinhua.
Jurucakap Jabatan Perlindungan Awam Algeria Nassim Bernaoui berkata sebanyak 1,460 kebakaran direkodkan di seluruh negara sejak awal Julai.
Bernaoui berkata pasukan Perlindungan Awam berjaya mengawal antara 85 hingga 90 peratus kebakaran menerusi operasi yang dilaksanakan dengan kerjasama tentera, Direktorat Perhutanan, pihak berkuasa tempatan, agensi berkaitan dan sukarelawan.
Beliau berkata usaha memadamkan baki kebakaran serta menghalangnya daripada terus merebak masih dijalankan di wilayah Annaba, Bejaia, Guelma, El Tarf, Khenchela, Mila, Bouira, Medea dan Mascara.
Menurut Bernaoui, Algeria merekodkan sejumlah 3,719 kebakaran sejak awal Mei, berbanding 1,501 kejadian dalam tempoh sama tahun lepas.
Direktorat Perhutanan memaklumkan kebakaran itu memusnahkan lebih 1,666 hektar kawasan, meningkat berbanding 467 hektar yang terbakar dalam tempoh sama pada 2025.
-- BERNAMA-XINHUA