Skip to main content

Dunia

Datuk Bandar New York akui tiada kuasa sah untuk tangkap Netanyahu berdasarkan waran ICC

NYC Mayor Zohran Mamdani speaks at a press conference after an Air Canada Express jet collided with a ground vehicle at New York's LaGuardia Airport in Queens, New York, U.S., March 23, 2026. REUTERS/Eduardo Munoz
Mamdani berkata kuasa untuk melaksanakan waran itu terletak di bawah bidang kuasa kerajaan persekutuan Amerika Syarikat (AS). - Foto fail/REUTERS

NEW YORK: Datuk Bandar New York, Zohran Mamdani, berkata pentadbirannya tidak mempunyai kuasa undang-undang yang bebas untuk melaksanakan waran tangkap Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, sekiranya pemimpin itu berkunjung ke bandar raya berkenaan.

Dalam satu kenyataan video yang dimuat naik di platform X, Mamdani berkata beliau menyokong waran tangkap yang dikeluarkan ICC terhadap Netanyahu, namun selepas semakan undang-undang dibuat, pihak bandar raya mendapati kuasa untuk melaksanakan waran itu terletak di bawah bidang kuasa kerajaan persekutuan Amerika Syarikat (AS).

“Pentadbiran saya telah meneliti setiap saluran yang tersedia di bawah undang-undang bagi menentukan sama ada New York City boleh melaksanakan waran tangkap ICC sekiranya Benjamin Netanyahu datang ke sini,” kata Mamdani.

“Jelas bahawa kami tidak mempunyai kuasa undang-undang bebas untuk melaksanakan waran tersebut.”

Mamdani turut menyifatkan Netanyahu sebagai “penjenayah perang” dan mendakwa beliau merupakan “arkitek kepada genosid yang mengerikan terhadap rakyat Palestin”.

Beliau menegaskan bahawa Netanyahu tidak dialu-alukan di New York, begitu juga mana-mana individu lain yang berdepan tuduhan jenayah perang.

Kenyataan itu dibuat selepas Presiden AS Donald Trump menyatakan bahawa Netanyahu tidak akan ditangkap ketika berada di AS.

Trump memberi reaksi terhadap kenyataan terdahulu Mamdani yang memaklumkan beliau sedang meneliti kemungkinan untuk melaksanakan waran ICC terhadap pemimpin Israel itu.

Menurut Mamdani, sekiranya waran itu mahu dikuatkuasakan, tindakan tersebut perlu dilakukan oleh kerajaan persekutuan.

Beliau turut menggesa Washington menyertai ICC dan melaksanakan waran tangkap berkenaan.

Netanyahu dijangka menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York pada September ini.

Namun, pakar undang-undang sebelum ini menyuarakan keraguan terhadap sebarang usaha pihak berkuasa bandar raya untuk menahannya kerana isu berkaitan imuniti ketua kerajaan dan bidang kuasa antarabangsa.

ICC yang berpangkalan di The Hague mengeluarkan waran tangkap terhadap Netanyahu pada 2024 atas dakwaan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan yang dikaitkan dengan konflik di Gaza.

AS bagaimanapun bukan negara anggota ICC dan tidak mengiktiraf bidang kuasa mahkamah tersebut.

Perkembangan terbaharu itu dilihat sebagai perubahan pendirian Mamdani, yang sebelum ini berjanji semasa kempen pilihan raya datuk bandar bahawa beliau akan mengarahkan Polis New York (NYPD) untuk melaksanakan waran ICC sekiranya Netanyahu memasuki bandar raya berkenaan.
 

 

Must Watch Video

Advertisement