BANGKOK: Beregu lelaki profesional negara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani muncul satu-satunya wakil Malaysia yang berjaya mara ke suku akhir Terbuka Thailand 2026 selepas tiga lagi beregu negara tersingkir pada pusingan kedua di Stadium Nimibutr, di sini, hari ini.
Sze Fei-Izzuddin yang menghuni ranking kesembilan dunia dan diletakkan sebagai pilihan ketiga kejohanan dipaksa bekerja keras sebelum menewaskan pasangan China Huang Di-Liu Yang 21-14, 24-22 dalam pertarungan selama 46 minit.
Pasangan negara yang menjuarai Masters Indonesia awal tahun ini menguasai permainan sejak awal dan mudah memenangi set pertama selepas mendahului sepanjang aksi.
Bagaimanapun, beregu muda China itu memberi tentangan sengit pada set kedua dan memiliki empat mata permainan ketika mendahului 20-16, namun Sze Fei-Izzuddin bangkit mempamerkan aksi cemerlang sebelum menamatkan perlawanan dengan kemenangan 24-22 untuk mengesahkan tempat ke suku akhir.
Izzuddin berkata prestasi mereka semakin meningkat sepanjang kejohanan dan beliau berpuas hati dengan persembahan yang dipamerkan hari ini.
“Kami hanya fokus kepada perancangan permainan dan selepas memenangi set pertama, kami tidak terburu-buru untuk menamatkan perlawanan. Sebaliknya, kami kekal tenang serta terus memberi tekanan kepada lawan.
“Walaupun ketinggalan empat mata permainan pada set kedua, kami tidak pernah berputus asa. Kami terus berjuang sehingga memperoleh mata kemenangan sendiri dan menutup perlawanan,” katanya kepada Bernama selepas aksi itu.
Menurutnya mereka kini lebih yakin untuk memberi cabaran serius memburu kedudukan podium pada kejohanan bersatus Super 500 yang menawarkan hadiah wang tunai USD500,000 (RM1.964 juta).
Pada aksi suku akhir esok, Sze Fei-Izzuddin dijadual menentang pasangan berkembar Scotland, Christopher-Matthew Grimley dan jika berjaya mara, pasangan negara itu dijangka bertemu pilihan utama dari India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty pada separuh akhir.
Sementara itu, tiga lagi beregu lelaki negara iaitu Mohd Haikal Nazri-Bryan Jeremy Goonting, Chia Wei Jie-Teo Ee Yi dan Nur Mohd Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong turut gagal mara selepas tewas dalam aksi pusingan kedua masing-masing.
Gandingan baharu Haikal-Bryan memberi tentangan sengit kepada pasangan pilihan utama dan ranking keempat dunia Satwiksairaj--Chirag sebelum akur 12-21, 19-21 dalam tempoh 44 minit.
Beregu profesional Chia-Teo pula tersingkir selepas tewas 24-26, 10-21 kepada Christopher-Matthew manakala Nur Azriyn-Tan kecundang 21-13, 20-22, 14-21 kepada wakil tuan rumah Peeratchai Sukphun-Pakkapon Teeraratsakul, dalam pertarungan selama 65 minit.
-- BERNAMA