KUALA LUMPUR: Polis menerima tujuh laporan berhubung isu pengurusan jenazah di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, Hulu Kelang yang tular pada Khamis lepas, setakat 5 petang tadi.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Khairul Anuar Khalid berkata siasatan kes itu masih dijalankan bagi mengenal pasti semua aspek berkaitan insiden berkenaan.
“Sehubungan dengan itu, orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan isu ini dan memberi ruang kepada pihak polis menjalankan siasatan yang telus serta terperinci terhadap semua pihak terlibat.
“Sekiranya terdapat sebarang maklumat, orang ramai boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang di talian 03-4289 7222," katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Bernama melaporkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menafikan kelewatan urusan pengebumian jenazah di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana yang tular Khamis lepas berpunca daripada pihak Masjid Nurul Hidayah, Kampung Pandan Dalam.
Pengarah JAIS Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata sebaliknya kelewatan itu berlaku susulan kekeliruan waris dalam penyerahan urusan pengebumian yang turut melibatkan sebuah badan bukan kerajaan (NGO), Badan Kebajikan Salatulrahim (BKS), selain menafikan dakwaan pihak masjid menuntut bayaran RM1,400 daripada waris.
Beliau turut memaklumkan satu laporan polis dibuat pada Jumaat lepas berhubung dakwaan pemalsuan Borang Permohonan Pengebumian Jenazah Islam yang dikemukakan kepada pihak pengurusan tanah perkuburan.
-- BERNAMA