Skip to main content

Politik

PRN Johor: PM Anwar rayu pengundi beri mandat kepada PH

MUAR, 22 Jun -- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) merangkap Pengerusi Paakatan Harapan (PH) bergambar bersama calon-calon PH pada Majlis Pengumuman Calon PH sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16 di Padang Bukit Gambir Extreme Park, malam ini.  Turut hadir Timbalan Pengerusi PH Datuk Seri Mohamad Sabu merangkap Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) dan Timbalan Pengerusi PH Anthony Loke merangkap Setiausaha Agung DAP.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim merayu rakyat Johor agar memberikan mandat kepada calon-calon gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim merayu rakyat Johor agar memberikan mandat kepada calon-calon gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini.

Beliau yang juga Perdana Menteri berkata mandat itu akan dipikul dengan penuh tanggungjawab dan tidak akan disia-siakan.

"Saya merayu dengan penuh rendah hati agar saudara-saudari memberikan mandat kepada calon-calon HARAPAN untuk memimpin negeri Johor bagi tempoh lima tahun akan datang.

"Insya-Allah, amanah ini akan dipikul dengan penuh tanggungjawab dan tidak akan sesekali disia-siakan," katanya menerusi hantaran di Facebook miliknya hari ini.

Beliau turut memetik firman Allah dalam Surah An-Nisa ayat 58 yang menekankan tuntutan menyampaikan amanah kepada yang berhak serta menegakkan keadilan dalam membuat keputusan.

Hantaran itu diakhiri dengan slogan "Johor Ke Depan, Undi HARAPAN", selain memaparkan beberapa calon PH yang bertanding pada PRN Johor.

Pada PRN Johor kali ini, PH bertanding di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Antara calon yang dipaparkan ialah Rozy Rasit (DUN Buloh Kasap), Ng Kor Sim (DUN Jementah), Jalex Lee En Xiang (DUN Pemanis), Mohd Afif Abd Hamid (DUN Kemelah) dan Elia Nadira Sabudin (DUN Tenang).

Hari pengundian ditetapkan pada 11 Julai, manakala pengundian awal berlangsung pada 7 Julai.

Untuk rekod, pada PRN Johor 2022, PH memenangi 12 daripada 56 kerusi DUN, manakala Barisan Nasional membentuk kerajaan negeri selepas memperoleh majoriti mudah.

Must Watch Video

Advertisement