KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melancarkan kempen Jom Beli Produk Malaysia (Jom Malaysia) dengan tanda pagar #JomMalaysia sebagai gerakan nasional baharu bagi memperkasa penggunaan produk dan perkhidmatan tempatan.
Menteri KPDN Datuk Armizan Mohd Ali berkata, inisiatif itu turut meningkatkan daya saing usahawan tempatan selain memperluaskan pasaran produk Malaysia ke peringkat global.
Menurut beliau, penjenamaan semula itu bukan sekadar menukar nama atau logo, sebaliknya membabitkan perubahan terhadap objektif, strategi dan pendekatan kempen.
"Kita tahu bahawa melalui gerakan ini kita ingin menyemai semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat kita kerana sebenarnya salah satu elemen yang penting adalah patriotisme ekonomi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melancarkan transformasi logo Jom Beli Produk Malaysia bersempena Festival Jom Malaysia x Pesta Kita di Pasar Seni, di ibu negara pada Sabtu.
Armizan berkata, keutamaan terhadap produk tempatan mampu merancakkan pertumbuhan ekonomi negara, mengurangkan kebergantungan kepada barangan import serta memperkasa perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dan peniaga tempatan.
Menurutnya, gerakan itu akan dilaksanakan menerusi pendekatan seluruh negara dengan membabitkan kerajaan, industri, peniaga dan rakyat.
"Strategi untuk melaksanakan gerakan ini adalah menerusi pendekatan seluruh negara dan bukan hanya digerakkan oleh agensi-agensi kerajaan.
“Sebaliknya, kita mahu menghimpunkan semua pihak berkepentingan termasuk pemain industri, para peniaga, dan yang paling penting ialah kebersamaan rakyat,” katanya.
Pada masa sama, Armizan menjelaskan tumpuan gerakan itu turut diperluaskan daripada produk tempatan kepada sektor perkhidmatan serta menyasarkan pelancong dari luar.
Beliau berkata, langkah itu diharap dapat meningkatkan permintaan terhadap produk dan perkhidmatan tempatan, sekali gus membuka peluang kepada usahawan Malaysia menembusi pasaran antarabangsa.
“Apabila pelancong datang mencari dan membeli produk tempatan, maka produk-produk ini dapat menembusi pasaran global.
“Impaknya bukan sahaja kepada negara, malah turut memberi manfaat kepada rakyat secara keseluruhannya,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Armizan berkata pendekatan Kerajaan MADANI memberi tumpuan kepada dua aspek utama, iaitu menstabilkan harga barang dan perkhidmatan serta meningkatkan pendapatan rakyat.