Skip to main content

Malaysia

Ekonomi altitud rendah antara fokus Forum Aeroangkasa Selangor

FORUM AEROANGKASA SELANGOR_TB
(Dari kiri) EXCO Kerajaan Negeri Selangor bagi Hal Ehwal Agama Islam dan Inovasi, Dr. Mohammad Fahmi Ngah; Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor, Lau Weng San; EXCO Kerajaan Negeri Selangor bagi Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti, Ng Sze Han; Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Berhad, Datuk Hasan Azhari Idris; serta Ketua Pegawai Eksekutif NAICO Malaysia, Ir. Shamsul Kamar Abu Samah, pada Selangor Aerospace Forum 2026. -Gambar Invest Selangor

SERDANG: Potensi ekonomi altitud rendah, pengukuhan rantaian bekalan serta pengembangan sektor penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih pesawat (MRO) menjadi antara fokus Selangor Aerospace Forum @ MyAERO Summit 2026.

Forum itu menghimpunkan lebih 200 delegasi dari Malaysia, Singapura, Brunei, Indonesia, China dan Perancis untuk membincangkan peluang kerjasama serta hala tuju ekosistem aeroangkasa Malaysia dan rantau ASEAN.

Berlangsung bersempena MyAERO Summit 2026 di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS), forum berkenaan memberi tumpuan kepada kesiapsiagaan infrastruktur, pembangunan bakat dan keupayaan industri tempatan menyokong pertumbuhan sektor aeroangkasa bernilai tinggi.

Antara perbincangan utama ialah usaha memperkukuh integrasi rantaian bekalan aeroangkasa Malaysia, termasuk dari segi daya tahan industri dan kedudukan negara dalam pasaran global.

Sektor MRO turut diberi perhatian menerusi perbincangan mengenai perkhidmatan bernilai tinggi, pendigitalan dan peluang pengembangan pasaran di peringkat serantau.

Forum itu juga meneliti perkembangan ekonomi altitud rendah atau Low-Altitude Economy, termasuk aspek kawal selia, kerjasama rentas sempadan dan peluang baharu yang boleh diteroka dalam industri aeroangkasa.

Pengarah Eksekutif Jawatankuasa Penganjur Persidangan Ekonomi Altitud Rendah Wuhu, Hou Hongxuan, menyampaikan pembentangan khas mengenai pengalaman China dalam membangunkan sektor berkenaan.

Sesi mengenai ekonomi altitud rendah itu turut melibatkan Ketua Pengarah Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), Datuk Azlikamil Napiah, serta Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Pengawalseliaan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Kapten Mohd Radzi Mohamad Alias.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Aviation Group, Kapten Nasaruddin A. Bakar, pula membentangkan pendekatan syarikat penerbangan negara menyesuaikan operasi susulan gangguan ruang udara yang didorong konflik geopolitik.

Forum itu turut disertai pemain industri termasuk dalam sektor pembuatan aeroangkasa, MRO, teknologi serta perkhidmatan penerbangan.

Program dua hari anjuran Invest Selangor Berhad pada 25 dan 26 Jun itu turut melibatkan lawatan ke beberapa kemudahan aeroangkasa di Sepang dan Subang.

Delegasi dibawa meninjau keupayaan MAB Engineering Services (MABES), Selangor Aero Park, Impeccable Vintage Properties (IVP) Khazanah, GE Aerospace dan Base Maintenance Malaysia.

MyAERO Summit 2026 dianjurkan oleh Perbadanan Industri Aeroangkasa Nasional Malaysia (NAICO Malaysia) dengan sokongan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

 

Must Watch Video

Advertisement