BANDAR PERMAISURI: Persiapan skuad kuda lasak negara ke Sukan Nomad Dunia (World Nomad Games, WNG) 2026 menunjukkan perkembangan memberangsangkan apabila beberapa atlet kebangsaan mencatat keputusan positif pada Kejohanan Kuda Lasak Piala Yang di-Pertuan Muda Terengganu 2026 di Terengganu International Endurance Park (TIEP), Lembah Bidong, Merang.
Atlet muda negara, Abdullah Faqeh Muhamad, 19, dari Al-Amin Endurance Team muncul juara kategori CEIYJ1* 100 kilometer selepas menamatkan perlumbaan dalam masa 5 jam 53 minit 1 saat, menewaskan sembilan pencabar lain.
Dalam kategori CEN 80 kilometer, wakil skuad negara, Md Rino Abd Rani, menamatkan saingan di tempat ketujuh daripada 47 peserta dengan catatan masa 6 jam 18 minit 52 saat bersama kudanya, Gallardo.
Seorang lagi wakil negara, Azham Affif Ishak, pula menduduki tempat ke-18 daripada 37 peserta dalam kategori CEN 40 kilometer selepas mencatat masa 3 jam 38 minit 21 saat menunggang MOE Bendahara.
Turut menyertai kategori CEN 40 kilometer ialah atlet memanah berkuda kebangsaan, Adawiyyatunnisa Azham Affif, yang bakal mewakili Malaysia dalam acara Memanah Berkuda di WNG 2026. Beliau berjaya menamatkan perlumbaan dengan cemerlang bersama kuda MOE Barakah.
Sementara itu, Nur Zalifah Dayana Dzarif turut mengharumkan nama Al-Amin Endurance Team apabila meraih Tempat Ketiga Anugerah Best Condition Horse bagi kategori CEN 80 kilometer bersama Cal Shan LQ.
Menurut Md Rino, semua kuda daripada Al-Amin Endurance Team berjaya menamatkan perlumbaan serta melepasi parameter yang ditetapkan bagi kategori 40km, 80km dan 100km, sekali gus memberi petanda positif menjelang World Nomad Games 2026 di Kyrgyzstan.
Beliau berkata, format pertandingan kuda lasak di WNG 2026 berbeza daripada perlumbaan endurance konvensional kerana ia berlangsung selama empat hari dengan jarak keseluruhan 300 kilometer, melibatkan laluan 50km, 100km, 100km dan 50km menggunakan kuda yang sama sepanjang pertandingan.
Sehubungan itu, strategi pasukan adalah memastikan kuda bergerak secara konsisten dengan penggunaan tenaga minimum bagi mengekalkan kecergasan sehingga tamat perlumbaan.
Md Rino turut menjelaskan kejayaan dalam sukan kuda lasak banyak bergantung kepada kemampuan kuda, namun ketahanan fizikal dan mental penunggang tetap menjadi faktor penting.
Selain Md Rino, Azham Affif dan Abdullah Faqeh, dua lagi atlet Al-Amin Endurance Team yang akan mewakili negara ke Kyrgyzstan ialah Muhamad Abdullah Al-Amin dan Abdullah Fateh Muhamad.
World Nomad Games 2026 akan berlangsung dari 31 Ogos hingga 6 September di Bishkek dan Issyk-Kul, Kyrgyzstan, menghimpunkan kira-kira 3,000 atlet serta delegasi dari lebih 90 negara yang akan bertanding dalam 42 acara sukan tradisional.
Malaysia akan menyertai tiga acara iaitu Kuda Lasak, Memanah Berkuda dan Strongman di bawah koordinasi JEQMACO.