KOTA BHARU: Seorang anggota polis maut selepas tercampak keluar daripada kereta yang dipandunya apabila kenderaan itu hilang kawalan sebelum terbabas di Kilometer 30, Jalan Persekutuan Pasir Puteh-Kota Bharu berhampiran Simpang Kampung Banir Belikong, Pasir Puteh, semalam.
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh Supt Saari Yaacob berkata dalam kejadian pada 11.50 malam itu, mangsa berusia 28 tahun yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Setiu, Terengganu dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Pasir Puteh dari arah Kota Bharu.
Beliau berkata siasatan awal mendapati sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta Perodua Kelisa yang dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas.
“Akibat impak kemalangan itu, mangsa tercampak keluar daripada kenderaan dan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala. Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Saari berkata kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan.
Beliau berkata orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik IPD Pasir Puteh Insp Abdul Munir Mohd Fauzi di talian 013-9872579 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.
-- BERNAMA