KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan ucapan tahniah kepada Barisan Nasional (BN) atas kemenangan dan mandat yang diberikan rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Menurut Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu, mandat yang diterima tersebut perlu dipikul dengan penuh tanggungjawab demi kepentingan negeri serta kesejahteraan rakyat.
Katanya lagi, dengan berakhir proses pilihan raya, semua pihak perlu mengetepikan perbezaan politik dan memberi tumpuan kepada usaha membangunkan Johor.
“Pilihan raya dan pesta demokrasi telah pun melabuhkan tirai.
"Kini adalah masa untuk kita melangkah ke depan, mengutamakan khidmat dan amanah kepada rakyat dan bersama-sama membina sebuah Johor yang lebih makmur dan maju,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, pada Sabtu.
Pada masa sama, Anwar merakamkan penghargaan kepada seluruh pengundi Johor yang menunaikan tanggungjawab mereka pada hari pengundian, selain menghargai pengorbanan jentera parti yang bekerja keras sepanjang tempoh berkempen.
Mengulas prestasi PH, Anwar menegaskan semua calon gabungan itu, sama ada yang menang atau tewas, diminta meneruskan khidmat kepada masyarakat dan mendengar suara rakyat.
“Tekad kami jelas, semua calon HARAPAN, tidak kira yang menang mahupun tewas, diminta untuk meneruskan khidmat membawa suara rakyat,” katanya.
Beliau turut memberi jaminan Kerajaan Persekutuan akan terus komited memastikan agenda pembangunan Johor tidak terjejas, malah akan terus diperkasa demi kesejahteraan rakyat.
Setakat jam 11:45 malam, PH secara rasmi hanya memperoleh enam kerusi daripada 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) berdasarkan keputusan yang diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).