KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengucapkan tahniah kepada Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Barisan Nasional (BN) yang diberi mandat baharu untuk membentuk Kerajaan Negeri Johor selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16.
Setiausaha Agungnya Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menerusi satu kenyataan hari ini memaklumkan bahawa parti itu menerima keputusan pengundi Johor yang memberikan sokongan kepada calon-calonnya di 16 kawasan yang ditandingi atas nama Perikatan Nasional (PN).
“Secara keseluruhan, jumlah undi yang diterima adalah baik dan tapak sokongan ini akan terus diperluaskan pada masa depan.
“Bersatu juga mengucapkan terima kasih kepada semua jentera yang telah bekerja keras membantu calon-calon dalam semangat setiakawan dan kesetiaan kepada perjuangan Bersatu.
“Bersatu akan meneliti keputusan ini secara terperinci dan membuat post mortem untuk mengenal pasti beberapa langkah strategik yang dapat memperkukuh perjuangan Bersatu untuk terus membawa agenda rakyat Malaysia,” ujar beliau dalam kenyataan itu.
Katanya, demokrasi yang memberi kuasa kepada rakyat adalah asas penting untuk kemajuan negara.
BN berjaya memperoleh mandat untuk menerajui semula Kerajaan Negeri Johor selepas meraih majoriti mudah pada PRN ke-16, hari ini.
Berdasarkan keputusan tidak rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), BN memenangi 29 daripada keseluruhan 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan pada PRN kali ini.