Skip to main content

Politik

PRN Johor: 'Keputusan membuktikan majoriti rakyat tolak PH'

KULAI, 2 Julai -- Deretan bendera parti yang memenuhi laluan utama di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Batu (N.51) mewarnai suasana kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16, hari ini._BERNAMA
Pas Johor menyifatkan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 hari ini membuktikan majoriti pengundi di negeri itu menolak Pakatan Harapan (PH), khususnya DAP. - Gambar fail/hiasan/BERNAMA

JOHOR BAHRU: Pas Johor menyifatkan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 hari ini membuktikan majoriti pengundi di negeri itu menolak Pakatan Harapan (PH), khususnya DAP.

Dalam satu kenyataan hari ini, Pas Johor berkata keputusan tersebut turut memperlihatkan rakyat Johor telah menzahirkan pilihan mereka secara demokratik dalam menentukan kepimpinan kerajaan negeri.

“Keputusan PRN kali ini juga disifatkan telah merealisasikan seruan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, supaya kuasa pemerintahan negeri terus berada di bawah kepimpinan orang Melayu Islam.

“Pihak kami menerima keputusan PRN Johor ke-16 dengan hati terbuka.

“Tahniah kepada Barisan Nasional (BN) yang diterajui Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, atas kemenangan memperoleh majoriti kerusi yang mencukupi untuk membentuk kerajaan negeri yang baharu,” kata kenyataan itu.

Dalam pada itu, Pas Johor turut merakamkan penghargaan kepada seluruh kepimpinan, ahli, petugas, jentera pilihan raya, penyokong dan pengundi Perikatan Nasional (PN)-Pas, termasuk pasukan dari Johor, negeri-negeri lain serta Pas Pusat yang membantu sepanjang kempen PRN Johor.

Pas Johor berkata parti itu bersama PN akan terus memperkukuhkan komitmen serta meneruskan agenda perjuangan demi agama, bangsa dan kebajikan rakyat sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Berdasarkan keputusan rasmi PRN Johor ke-16, Pas mengalami kekalahan di semua 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandinginya, sekali gus gagal mempertahankan sebarang kerusi.

Pas bertanding di bawah logo PN, manakala PN secara keseluruhan turut gagal memenangi sebarang kerusi DUN di Johor.

Must Watch Video

Advertisement