KUALA LUMPUR: Kebangkitan semula fenomena Formula Satu (F1) di seluruh dunia memberi keyakinan bahawa Litar Antarabangsa Sepang (SIC), mampu kembali dipenuhi ribuan penonton sekiranya Malaysia diberi peluang menganjurkan F1 secara one-off, kata bekas Ketua Pegawai Eksekutif SIC Datuk Razlan Razali.
Razlan berkata ledakan populariti F1 sejak beberapa tahun kebelakangan ini, khususnya menerusi siri dokumentari Drive to Survive di Netflix mencetuskan gelombang baharu peminat, termasuk kalangan wanita dan generasi muda, sekali gus mengubah landskap sukan permotoran menjadi jauh berbeza berbanding ketika Malaysia menghentikan penganjuran F1 pada 2017.
Beliau berkata perubahan itu, membuka peluang terbaik kepada Malaysia untuk kembali menjadi tuan rumah perlumbaan berprestij berkenaan, sekiranya diberi kepercayaan menggantikan mana-mana pusingan yang dibatalkan susulan konflik geopolitik.
“Hari ini sudah lebih lima tahun berlalu. Jika ada permohonan rasmi daripada Liberty Media supaya Sepang mengambil alih pusingan yang dibatalkan, saya fikir Malaysia perlu menelitinya secara serius kerana peluang seperti ini jarang datang,” katanya kepada Bernama hari ini.
Razlan berkata sebarang keputusan bagaimanapun perlu dibuat selepas menilai terma yang ditawarkan Liberty Media, khususnya membabitkan kos penganjuran yang menurutnya berpotensi lebih rendah berbanding sebelum ini.
Beliau berkata sekiranya perlumbaan itu dianjurkan sebagai acara sekali sahaja, harga tiket perlu ditawarkan pada kadar yang lebih mampu milik, bagi memastikan sambutan menggalakkan dari pembelian domestik terutamanya jika perlumbaan itu berlangsung dalam tempoh berdekatan dengan Grand Prix Singapura.
“Kalau ia diadakan sebelum atau selepas Singapura (pada 11 Okt), kita mungkin hanya mempunyai kira-kira sebulan untuk mempromosikan dan menjual tiket. Sebab itu harga tiket perlu berpatutan kerana ini bukan penganjuran biasa. Liberty Media juga sudah tentu mahu melihat grandstand dipenuhi penonton,” katanya.
Mengulas mengenai kesiapsiagaan SIC, Razlan berkata litar itu mempunyai keupayaan untuk menganjurkan F1 meskipun diberikan tempoh persediaan singkat, melihat kepada pengalaman dimiliki warga kerja SIC dalam mengendalikan acara bertaraf dunia seperti MotoGP, serta infrastruktur litar berkenaan yang sentiasa diselenggara mengikut piawaian tertinggi.
“Dari segi trek, fasiliti dan bangunan paddock, saya percaya tiada masalah. Apa yang penting ialah Formula One dan FIA menerima keadaan sedia, ada kerana tempoh persediaan terlalu singkat untuk melakukan pengubahsuaian besar.
“Ramai yang menyangka SIC menguruskan aspek teknikal perlumbaan, sedangkan perkara itu dikendalikan sepenuhnya oleh Formula One dan FIA. SIC hanya menyediakan infrastruktur serta sokongan operasi seperti marshal dan pegawai perlumbaan,” katanya.
Sementara itu, Razlan berkata penganjuran F1 secara one-off ini, mampu menjadi medan terbaik untuk Malaysia membuktikan kemampuan menganjurkan semula perlumbaan bertaraf dunia tersebut, sekali gus membuka ruang kepada perbincangan untuk mengembalikan Sepang sebagai venue tetap dalam kalendar F1.
“Sekiranya perlumbaan itu berjaya dianjurkan dan memberikan impak positif kepada ekonomi serta pelancongan negara, saya percaya sudah tentu akan ada ruang untuk kerajaan berbincang dengan Liberty Media mengenai peluang Malaysia kembali menjadi tuan rumah tetap Formula Satu pada masa hadapan,” katanya.
Bekas pelumba F1 negara Alex Yoong Hanifah pula berharap sebarang usaha membawa semula perlumbaan berprestij itu ke Sepang, perlu dilaksanakan pada kos yang munasabah supaya harga tiket kekal mampu milik dan lebih ramai rakyat Malaysia berpeluang menyaksikan aksi perlumbaan itu secara langsung.
Satu-satunya rakyat Malaysia yang pernah beraksi dalam F1 itu berkata beliau mengalu-alukan kemungkinan Malaysia dipilih sebagai tuan rumah perlumbaan ,bagi menggantikan mana-mana pusingan yang dibatalkan, namun menegaskan ia hanya wajar diteruskan sekiranya negara tidak dibebankan dengan yuran hak penganjuran yang terlalu tinggi.
“Jika kita berjaya mendapatkan perlumbaan itu, asalkan ia masuk akal, seperti contohnya, kita tidak perlu membayar yuran hak penganjuran yang terlampau mahal. Jika kita boleh mendapatkan tawaran yang bagus dan murah untuknya, maka saya rasa ia adalah sangat baik... Kita semua pastinya gembira melihat Formula 1 kembali ke Malaysia pada harga yang berpatutan,” katanya.
Baru-baru ini, media antarabangsa melaporkan Bahrain berkemungkinan kembali menjadi tuan rumah perlumbaan F1 dengan mengisi slot antara Grand Prix Azerbaijan dan Grand Prix Singapura, namun ketegangan yang berterusan di rantau Asia Barat menimbulkan persoalan mengenai kemampuan perlumbaan tersebut untuk dijalankan seperti dirancang.
Susulan itu, Menteri Belia dan Sukan Mohammed Taufiq Johari berkata kementerian itu sedang mengadakan perbincangan dan menilai kemungkinan perlumbaan F1 kembali ke SIC, berikutan maklumat awal diperoleh menyatakan Malaysia boleh menjadi tuan rumah perlumbaan gantian, jika Grand Prix Bahrain tidak dapat diteruskan.
F1 kini menunggu keputusan rasmi yang dijangka dibuat dalam masa terdekat, susulan pemantauan rapat terhadap mesyuarat Majlis Sukan Permotoran Dunia FIA hujung minggu ini.
Mesyuarat itu dijangka turut membincangkan status perlumbaan Kejuaraan Endurance Dunia FIA (WEC) di Qatar dan Bahrain, dengan faktor keselamatan menjadi pertimbangan utama.
Sebelum ini, WEC menangguhkan pusingan Qatar ke 24 Oktober berikutan konflik di rantau berkenaan, manakala perlumbaan penutup musim di Bahrain masih dijadualkan berlangsung pada 7 Nov.
-- BERNAMA