Skip to main content

Sukan

Piala Dunia 2026: Erling Haaland meledak dua gol bantu Norway benam Iraq 4-1

Soccer Football - FIFA World Cup 2026 - Group I - Iraq v Norway - Boston Stadium, Foxborough, Massachusetts, U.S. - June 16, 2026 Norway's Erling Haaland celebrates scoring their first goal with Alexander Sorloth and David Moller Wolfe IMAGN IMAGES via Reuters/Paul Rutherford TPX IMAGES OF THE DAY
Erling Haaland meraikan jaringan pertama pasukannya bersama Alexander Sorloth dan David Moller Wolfe ketika perlawanan Piala Dunia FIFA 2026 Kumpulan I antara Iraq dan Norway di Stadium Boston, Foxborough, Massachusetts, AS, 16 Jun 2026. REUTERS

ERLING Haaland menjadi watak utama apabila meledak dua jaringan untuk membantu Norway mencatat kemenangan meyakinkan 4-1 ke atas Iraq dalam aksi antarabangsa yang menyaksikan kedua-dua pasukan kembali ke pentas global buat kali pertama abad ini.

Perlawanan diwarnai dengan tempo tinggi sejak awal permainan apabila Haaland membuka tirai jaringan pada minit ke-29 hasil satu gerakan kemas yang bermula dari penjaga gol Orjan Nyland

Skuad Norway melakukan 14 hantaran berturut-turut sebelum David Moller Wolfe menghantar umpanan dari sebelah kiri yang disudahkan Haaland di tiang jauh.

Iraq bangkit menyamakan kedudukan pada minit ke-39 menerusi Aymen Hussein, yang menanduk masuk hantaran lambung Amir Al Ammari, sekali gus mencatat sejarah sebagai antara penjaring gol Piala Dunia buat Iraq.

Namun kegembiraan itu tidak lama apabila Haaland sekali lagi menghukum kesilapan benteng pertahanan Iraq sebelum rehat, menjadikan Norway mendahului 2-1 pada separuh masa pertama.

Memasuki babak kedua, pemain gantian Leo Ostigård menambah jaringan ketiga Norway pada minit ke-76 selepas dibiarkan tanpa kawalan ketika sepakan sudut, sebelum gol sendiri oleh Aymen Hussein pada masa kecederaan (90+6) melengkapkan kemenangan selesa Norway.

Orjan Nyland turut mencatat sejarah tersendiri apabila menjadi pemain tertua mewakili Norway di pentas Piala Dunia pada usia 35 tahun 279 hari.

Kemenangan ini menyaksikan Norway melonjak ke tangga teratas Kumpulan I berdasarkan perbezaan jaringan, mengatasi Perancis, sekali gus meletakkan mereka dalam posisi terbaik untuk melangkah ke pusingan seterusnya.

Norway akan meneruskan cabaran Kumpulan I dengan perlawanan menentang Senegal pada 22 Jun, dalam usaha untuk mengukuhkan peluang layak ke pusingan seterusnya.

Armada Viking dilihat memiliki segala ramuan untuk muncul sebagai antara pasukan yang mampu mencipta kejutan dan melangkah jauh di pentas Piala Dunia 2026.

Must Watch Video

Advertisement