KUALA LUMPUR: Radio Televisyen Malaysia (RTM) memohon maaf atas gangguan teknikal yang berlaku pada platform RTMKlik ketika siaran langsung Piala Dunia Fifa 2026 pada separuh masa pertama perlawanan antara Perancis dan Senegal awal pagi tadi.
RTM menjelaskan gangguan tersebut berpunca daripada masalah luar jangka yang menyebabkan sebahagian pengguna sukar untuk mengakses siaran dengan lancar melalui RTMKlik.
"RTM amat memahami kekecewaan para peminat sukan bola sepak yang menantikan perlawanan tersebut. Pihak kami amat menghargai kesabaran, sokongan dan maklum balas yang diberikan sepanjang tempoh gangguan berlaku," jelasnya melalui kenyataan yang disiarkan hari ini.
Pada masa sama, RTM turut menyatakan akan mengambil langkah-langkah pengukuhan infrastruktur dan sistem penyiaran digital dijalankan setiap masa bagi mengurangkan risiko gangguan teknikal daripada berulang.
"Sebagai penyiar rasmi kejohanan paling berprestij dunia ini, RTM sentiasa komited untuk memastikan pengalaman tontonan yang terbaik buat seluruh rakyat Malaysia," katanya lagi.
RTM turut menghargai kesabaran serta sokonganpenonton sepanjang tempoh berkenaan.
RTM menegaskan komitmennya untuk memastikan kesemua 104 perlawanan melibatkan 94 siaran langsung dan 10 siaran tertunda dapat disiarkan dengan lebih lancar, stabil dan berkualiti menerusi semua platformnya.