Skip to main content

Malaysia

Kenaikan kos bahan binaan masih terkawal - Alexander

Alexander Nanta Linggi
Alexander berkata buat masa ini kontraktor masih mampu menyerap kenaikan kos berkenaan dan meneruskan projek tanpa sebarang penangguhan. - Gambar fail

KUCHING: Peningkatan kos bahan binaan susulan krisis tenaga global dan gangguan rantaian bekalan dunia masih berada pada tahap terkawal.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata buat masa ini kontraktor masih mampu menyerap kenaikan kos berkenaan dan meneruskan projek tanpa sebarang penangguhan.

“Buat masa ini, keadaan masih berada dalam kadar yang boleh dikawal dan tidak memerlukan penambahan peruntukan.

“Namun, kita akan terus memantau keadaan. Sekiranya berlaku kenaikan harga secara mendadak, kita mempunyai strategi untuk menanganinya,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Malaysian Regional Geotechnical Engineering Conference di sini, hari ini.

Alexander berkata Kementerian Kerja Raya (KKR) bersama Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) telah menjalankan kajian berhubung kesan krisis tersebut terhadap industri pembinaan dan membentangkan hasil kajian itu kepada Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN).

Beliau berkata kajian itu merangkumi strategi jangka pendek dan panjang bagi menangani sebarang kesan ekonomi, khususnya melibatkan rantaian bekalan dan kos bahan binaan.

“Kita perlu faham bahawa sektor pembinaan merupakan antara enjin pertumbuhan ekonomi negara. Jika projek-projek ditangguhkan, ekonomi boleh terjejas kerana peruntukan disediakan tidak dibelanjakan dalam sektor pembinaan.

“Atas sebab itu, kerajaan memutuskan untuk meneruskan projek-projek sedia ada walaupun terdapat kenaikan harga, kerana ia masih berada pada tahap yang boleh ditangani.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement