Skip to main content

Dunia

Lebih sejuta penonton hadir 16 perlawanan pembukaan Piala Dunia - FIFA

A general view of the Mexico City stadium ahead of the World Cup Group A soccer match between Mexico and South Africa in Mexico City, Thursday, June 11, 2026. (AP Photo/Antonio Felix)
FIFA memaklumkan bahawa seramai 1,028,429 penonton hadir menyaksikan perlawanan sehingga Isnin, dengan kadar pengisian stadium mencecah 99.34 peratus. - Gambar/ AP

LONDON: Lebih sejuta penonton menghadiri 16 perlawanan pembukaan Piala Dunia di Amerika Utara, menurut FIFA, lapor PA Media/dpa.

Kebimbangan mengenai harga tiket menjelang kejohanan itu dilihat berasas apabila banyak kerusi kosong dapat dilihat semasa perlawanan antara Korea Selatan dan Republik Czech di Guadalajara pada Khamis lepas serta perlawanan antara Qatar dan Switzerland di Bay Area, California pada Sabtu.

Bagaimanapun, FIFA memaklumkan bahawa seramai 1,028,429 penonton hadir menyaksikan perlawanan sehingga Isnin, dengan kadar pengisian stadium mencecah 99.34 peratus, menurut data.

Presiden FIFA Gianni Infantino bergambar bersama penonton ke sejuta itu, Aaron Bren dalam satu hantaran di Instagram.

"Terima kasih yang tidak terhingga kepada semua penyokong yang penuh semangat dan terus memenuhi stadium. Anda telah menghidupkan Piala Dunia FIFA yang paling inklusif," tulis Infantino.

Sementara itu, sebuah kumpulan penyokong memberi amaran mengenai "risiko" yang timbul akibat ketiadaan pengasingan tempat duduk penyokong pada perlawanan-perlawanan kejohanan itu.

Pengarah Eksekutif Football Supporters Europe, Ronan Evain, berkata kepada BBC Sport: "Ketiadaan pengasingan penyokong bukan sesuatu yang biasa bagi kejohanan seperti ini.

"Apa yang membimbangkan ialah FIFA sebenarnya tidak mengetahui dengan tepat siapa yang memiliki tiket di sesuatu kawasan tempat duduk kerana terlalu menggalakkan pembelian dan penjualan semula tiket.

"Oleh itu, kemungkinan atau risiko penyokong 'Pasukan A' berada di tengah-tengah kelompok penyokong 'Pasukan B' adalah lebih tinggi berbanding sebelum ini."

Sumber FIFA pula menjelaskan bahawa penyokong paling setia setiap negara ditempatkan bersama dalam peruntukan khas 'participant member association' (PMA) yang diasingkan.

-- BERNAMA-PA MEDIA/dpa

 

Must Watch Video

Advertisement