Skip to main content

Malaysia

Masjid baharu akan dibina di Bukit Bintang - Zulkifli

KUALA LUMPUR, 19 Jun -- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan ditemu bual pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Outreach Oasis Bukit Bintang hari ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Hasan ditemu bual pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Outreach Oasis Bukit Bintang hari ini. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Sebuah masjid baharu yang mampu memuatkan lebih 1,500 jemaah akan dibina di Bukit Bintang, di sini dengan dijangka siap awal tahun depan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Hasan.

Beliau berkata pembinaan masjid berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) serta  beberapa pertubuhan bukan kerajaan.

Zulkifli berkata reka bentuk serta pelan masjid berkenaan telah disediakan dan kerja-kerja fizikal akan dimulakan segera.

“Apabila siap nanti semua jemaah akan tumpu ke sana (masjid baharu) manakala pusat komuniti Outreach Oasis Bukit Bintang (OOBB) yang dijadikan surau Jumaat sementara akan diteruskan dengan aktiviti dakwahnya," katanya kepada pemberita selepas solat Jumaat di surau Jumaat sementara OOBB di sini hari ini.

Surau berkenaan hari ini kali pertama mengadakan solat Jumaat selepas Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan (Khas) Bil 4/2026 yang bersidang pada 8 Jun bersetuju memberi kebenaran solat Jumaat sementara di OOBB.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement