Skip to main content

Malaysia

56 tahun dalam dunia akademik, Osman Bakar dipilih Tokoh Maal Hijrah kebangsaan

Sumber: Shahir Omar
Timbalan Yang di-Pertuan Agong dan Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah, berkenan mengurniakan Anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan kepada Osman. - Gambar/ Astro AWANI/ Shahir Omar

PUTRAJAYA: Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) merangkap ahli falsafah Muslim terkemuka, Profesor Emeritus Datuk Osman Bakar menzahirkan rasa syukur selepas dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan 1448 hijrah.

Osman berkata beliau telah berkhidmat sebagai ahli akademik di pelbagai pusat pengajian tinggi selama 56 tahun, dan melalui pelbagai peringkat kerjaya bermula sebagai pensyarah sehingga ke jawatan Profesor, sebelum dianugerahkan gelaran Profesor Emeritus.

“Saya bersyukur kepada Allah S.W.T atas kesempatan ini. Seluruh kehidupan saya ialah dalam bidang ilmu pengetahuan. Saya pernah bertugas di banyak universiti dalam dan luar negara, dan boleh dikatakan kehidupan saya adalah satu bentuk jihad,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media sempena sambutan Maal Hijrah peringkat kebangsaan di sini hari ini.

Jelas beliau, jihad yang dimaksudkan adalah perjuangan dalam medan ilmu pengetahuan untuk mempertahankan kebenaran serta menangkis penyebaran ilmu yang tidak tepat.

“Ini adalah jihad untuk mempertahankan ilmu yang benar dan melawan ilmu yang palsu. Itu tugas saya sepanjang lebih lima dekad berada di pusat pengajian tinggi,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa sepanjang tempoh tersebut, beliau bukan sahaja menuntut ilmu, malah turut berusaha mencari, berkongsi, menyebarkan dan mengaplikasikan ilmu demi manfaat masyarakat.

“Saya merasakan, Insya-Allah, saya masih boleh menyumbang lagi dalam bidang ilmu pengetahuan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru generasi muda khususnya golongan akademik agar menghayati semangat hijrah dalam konteks yang lebih luas, khususnya dalam memperkasa peranan ilmu dalam pembangunan ummah.

“Saya berharap generasi muda yang telah kita lahirkan, termasuk ramai golongan akademik, dapat menghidupkan semangat hijrah baharu,” katanya.

Osman berkata semangat hijrah tidak seharusnya dilihat hanya dalam konteks fizikal, tetapi perlu difahami sebagai transformasi menyeluruh seperti yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad S.A.W.

Beliau menjelaskan transformasi kota Madinah daripada Yathrib merupakan contoh terbaik pembentukan masyarakat madani berasaskan nilai Islam.

“Semangat Nabi Muhammad SAW dalam mengubah Yathrib kepada Madinah adalah satu transformasi besar, sebuah kota menjadi masyarakat, negara kota dan seterusnya sebuah peradaban,” katanya.

Menurut beliau, dalam tempoh kira-kira 10 tahun di Madinah, Rasulullah SAW berjaya membentuk sebuah masyarakat dengan ciri-ciri terbaik berasaskan nilai madani.

“Al-Quran sendiri menggambarkan umat di Madinah sebagai umat terbaik yang pernah dilahirkan kepada manusia. Ini adalah pengajaran besar daripada peristiwa sejarah yang kita raikan hari ini,” katanya.

Anugerah Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan merupakan pengiktirafan tertinggi negara kepada individu yang menyumbang cemerlang dalam memperkasa syiar Islam dan pembangunan ummah.

Hadir sama pada sidang media adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Hasan.

Sementara itu, Pakar Fiqah Islam dari Maghribi Dr Ahmad Al-Raysuni diumum sebagai Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa bagi tahun 1448H.

Must Watch Video

Advertisement