Skip to main content

Dunia

Iran rangka peruntukan jelas pelepasan aset dalam perjanjian dengan AS

An Iranian man walks next to a mural on a street in Tehran, Iran, May 11, 2026. Majid Asgaripour/WANA (West Asia News Agency) via REUTERS ATTENTION EDITORS - THIS PICTURE WAS PROVIDED BY A THIRD PARTY
Iran dan AS dijangka menandatangani memorandum di Switzerland pada Jumaat susulan rundingan baru-baru ini yang bertujuan menamatkan konflik serantau yang berlarutan selama beberapa bulan. - Gambar/ Reuters

ISTANBUL: Gabenor Bank Pusat Iran Abdolnasser Hemmati berkata pada Selasa bahawa peruntukan berkaitan pelepasan aset beku Iran di bawah memorandum persefahaman yang dicadangkan dengan Amerika Syarikat (AS) dirangka bagi memastikan akses kepada dana berkenaan.

Menurut Anadolu Ajansi, Hemmati berkata kepada agensi berita Tasnim bahawa pengalaman daripada perjanjian-perjanjian terdahulu telah diambil kira ketika merangka peruntukan berkaitan pelepasan aset itu.

Beliau menjelaskan bahawa memorandum berkenaan mentakrifkan dengan jelas obligasi AS berkaitan pelepasan aset Iran serta merangkumi mekanisme yang bertujuan memastikan komitmen itu dapat dikuatkuasakan.

"Seperti mana-mana perjanjian antarabangsa, penilaian akhir akan bergantung kepada pelaksanaan dan proses pengesahan yang diperlukan," kata Hemmati.

Ketua bank pusat itu menambah bahawa sebaik sahaja memorandum itu ditandatangani dan dikuat kuasa, prosedur teknikal dan perbankan akan dilaksanakan bagi mengesahkan pelepasan aset berkenaan serta keupayaan Iran untuk mengakses dan menggunakannya secara praktikal.

Hemmati berkata dana yang dilepaskan itu akan kekal sebagai aset Bank Pusat Iran dan keputusan mengenai pengurusan, peruntukan serta penggunaannya akan dibuat oleh bank berkenaan mengikut kuasa perundangan, keadaan ekonomi dan keutamaan pertukaran asing negara itu.

Pegawai Iran dan AS dijangka menandatangani memorandum berkenaan di Switzerland pada Jumaat susulan rundingan baru-baru ini yang bertujuan menamatkan konflik serantau yang berlarutan selama beberapa bulan serta meredakan ketegangan antara kedua-dua negara.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 

Must Watch Video

Advertisement