MIAMI: Ketua jurulatih Norway, Stale Solbakken, berkata pasukannya perlu kekal setia dengan corak permainan mereka dalam perlawanan suku akhir Piala Dunia menentang England, lapor Xinhua.
Bercakap menjelang pertembungan itu dalam sidang media pada Jumaat, Solbakken menekankan kepentingan mengekalkan identiti pasukan.
“Saya mahu melihat pasukan Norway bermain mengikut kekuatan mereka dan kami menjadi diri kami sendiri, sepertimana yang kami lakukan sepanjang kejohanan ini,” kata Solbakken.
Norway julung kali akan beraksi dalam suku akhir Piala Dunia di Stadium Miami, manakala England mara ke peringkat itu buat kali ketiga berturut-turut.
Solbakken mengakui kualiti skuad England, sambil memberi tumpuan kepada bintang-bintang seperti Jude Bellingham dan Harry Kane.
“Jelas sekali apabila anda menentang pasukan seperti England, yang mempunyai pemain hebat di bahagian sayap, Bellingham, Kane, mereka boleh menjaringkan gol dari pelbagai posisi," katanya.
"Kami perlu bersaing di sana, kami perlu bertahan dengan betul. Tetapi perkara paling penting bagi saya adalah kami menjadi diri kami sendiri apabila menguasai bola."
Apabila ditanya mengenai pertarungan individu antara Kane dan Erling Haaland, Solbakken lebih fokus kepada usaha pasukan.
"Saya berpendapat ini ialah perlawanan antara Norway menentang England, tetapi saya rasa bukan satu rahsia lagi bahawa Kane ialah pemain penentu kemenangan nombor satu untuk England dan Haaland ialah pemain penentu kemenangan nombor satu untuk kami," katanya.
Haaland telah menjaringkan tujuh gol menerusi empat perlawanan untuk membawa Norway ke peringkat suku akhir dalam penampilan pertama mereka di Piala Dunia selepas 28 tahun.
Kane menjaringkan enam gol dalam kejohanan, menjadikan jumlah gol keseluruhan sepanjang kerjaya Piala Dunianya kepada 14 gol.
Haaland menjangkakan satu perlawanan yang 'istimewa' dan 'menarik' memandangkan beliau akan menentang pasukan dari tempat kelahirannya yang turut membariskan rakan sepasukannya di Manchester City iaitu Nico O'Reilly, Marc Guehi dan James Trafford.
“Ia satu perlawanan yang istimewa, ya, sudah semestinya. Saya rasa bagi saya ia amat istimewa kerana saya bermain di England dan saya dilahirkan di England, malah akan bermain menentang rakan sepasukan sendiri dan sebagainya,” kata Haaland.
“Ia satu perlawanan yang menyeronokkan dan ia akan menjadi menarik.”
Solbakken percaya pemainnya mempunyai keyakinan untuk menang jika mereka mempamerkan prestasi di tahap kemuncak mereka.
“Para pemain di lubuk hati mereka berasa bahawa mereka boleh menewaskan England, tetapi jelas sekali kami perlu berada pada tahap yang paling, paling terbaik. Jika kami tidak berada pada tahap paling terbaik, England akan mara,” kata jurulatih itu.
“Mereka berada dalam emosi yang tenang namun kompetitif,” tambahnya.
“Saya tidak fikir anda boleh berada pada tahap terbaik jika anda tidak merasai sedikit tekanan.”
-- BERNAMA-XINHUA