Skip to main content

Sukan

Glasgow 2026: Angkat berat jadi tumpuan selepas hari kedua yang suram

GLASGOW, 24 Julai – Jaguh Para Powerlifting negara Bonnie Bunyau Gustin merangkul pingat gangsa dengan angkatan terbaik 220 KG untuk mengumpul 153.5 mata pada kejohanan Para Powerlifting Lightweight Lelaki sempena temasya Sukan Komanwel Glasgow di SEC Armadillo hari ini.  Pingat Emas, atlet dari England, Mark Swan manakala Pingat perak, atlet dari Nigeria, Roland Izuruike.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA   GLASGOW, July 24 -- National para powerlifting champion Bonnie Bunyau Gustin claimed the b
Bonnie merangkul pingat gangsa dengan angkatan terbaik 220kg untuk mengumpul 153.5 mata pada kejohanan Para Powerlifting Lightweight Lelaki sempena temasya Sukan Komanwel Glasgow di SEC Armadillo, Glasgow, semalam. Pingat emas diraih atlet dari England, Mark Swan manakala pingat perak diperoleh atlet dari Nigeria, Roland Izuruike. --fotoBERNAMA

GLASGOW: Kontinjen Malaysia mengharungi hari kedua Sukan Komanwel Glasgow 2026 dalam suasana suram apabila wakil negara gagal mencatat keputusan memberangsangkan dalam beberapa acara termasuk renang, para renang, bola keranjang kerusi roda 3x3, boling padang dan gimnastik artistik, pada Sabtu.

Di Pusat Renang Antarabangsa Tollcross, empat perenang negara gagal melepasi saingan peringkat awal, dengan Khiew Hoe Yean muncul wakil paling hampir untuk melangkah ke final acara 400 meter (m) gaya bebas lelaki.

Hoe Yean menamatkan saingan di kedudukan ke-10 daripada 27 peserta selepas mencatat masa 3 minit 54.23 saat (s), sekali gus terlepas peluang untuk berada dalam kelompok lapan terbaik yang layak ke final.

Catatan itu juga masih jauh daripada rekod kebangsaan dan rekod peribadinya, iaitu 3 minit 47.38 saat.

Seorang lagi wakil negara dalam acara sama, Tan Khai Xin, menamatkan saingan di tempat ke-14 keseluruhan dengan catatan 3 minit 57.54 saat.

Dalam acara 50m gaya bebas lelaki, Lim Yin Chuen dan Arvin Shaun Singh Chahal turut gagal menempatkan diri dalam kelompok 16 terbaik untuk mara ke separuh akhir.

Bagaimanapun, perenang para negara Ethan Khoo layak ke final acara 200m gaya bebas lelaki S14 sebelum menamatkan saingan di kedudukan keempat dengan catatan 2 minit 5.25 saat.

Sementara itu, skuad bola keranjang kerusi roda 3x3 lelaki negara terpaksa akur dengan kekalahan tipis 13-14 kepada Wales dalam aksi pembukaan Kumpulan B di Scottish Event Campus (SEC).

Bagaimanapun, pasukan negara bangkit menewaskan Kenya dan Singapura dengan keputusan sama, 21-15.

Dalam acara boling padang, pemain singles lelaki Izzat Shameer Dzulkeple serta gandingan pairs wanita Aleena Ahmad Nawawi-Syafiqa Haidar Afif Abdul Rahman masing-masing mencatat kemenangan ketiga berturut-turut dalam saingan kumpulan, sekali gus mencerahkan peluang untuk mara ke pusingan seterusnya.

Cabaran negara dalam gimnastik artistik wanita pula menyaksikan Rachel Yeoh mara ke final acara palang bertingkat selepas menduduki tempat ketiga daripada 49 atlet pada pusingan kelayakan di Arena Antarabangsa Glasgow.

Sementara itu, tumpuan kontinjen negara hari ini dijangka terarah kepada acara angkat berat apabila dua juara bertahan, Mohamad Aniq Kasdan dan Muhamad Aznil Bidin, memulakan misi memburu pingat emas buat Malaysia.

Mohamad Aniq akan beraksi dalam kategori 60 kilogram (kg) lelaki, manakala Mohamad Aznil yang memburu hatrik pingat emas akan bersaing dalam kategori 65kg lelaki pada hari pembukaan saingan angkat berat di SEC Armadillo.

Kuartet Hoe Yean, Arvin Shaun, Yin Chuen dan Khai Xin pula berpeluang menebus kekecewaan apabila turun beraksi dalam acara 4x200m gaya bebas.

Setakat ini, Malaysia telah meraih satu pingat gangsa menerusi jaguh para powerlifting Bonnie Bunyau Gustin dalam kategori lightweight lelaki.

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement