Skip to main content

Dunia

Iran, Oman bincang laluan selamat kapal di Selat Hormuz

Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baqaei
Esmaeil Baqaei berkata, perbincangan antara kedua-dua negara diadakan di Tehran pada Jumaat dan Sabtu membabitkan timbalan menteri luar Iran serta Oman. - Foto Reuters

ISTANBUL: Iran dan Oman mencapai perkembangan positif dalam rundingan berkaitan langkah memastikan keselamatan kapal yang melalui Selat Hormuz, selain menegaskan keadaan lalu lintas maritim di laluan penting itu masih berjalan seperti biasa.

Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baqaei berkata, perbincangan antara kedua-dua negara diadakan di Tehran pada Jumaat dan Sabtu membabitkan timbalan menteri luar Iran serta Oman.

Image
FILE PHOTO: File Photo: Vessels at the Strait of Hormuz, as seen from Musandam, Oman, July 21, 2026. REUTERS/Stringer/File Photo/File Photo
Selat Hormuz kini menjadi perhatian dunia susulan peningkatan ketegangan antara Iran, Amerika Syarikat (AS) dan Israel sejak operasi ketenteraan dilancarkan terhadap Tehran pada Februari lalu. - Foto Reuters

Beliau berkata, kedua-dua pihak membincangkan prinsip bersama dan kaedah operasi bagi memastikan kapal dapat melalui Selat Hormuz dengan selamat.

Menurutnya, rundingan itu berjalan dengan baik dan beberapa kemajuan berjaya dicapai, manakala perbincangan lanjut melibatkan aspek teknikal serta politik masih diteruskan.

Delegasi Oman meninggalkan Tehran pada Sabtu malam selepas selesai sesi rundingan bersama pihak Iran.

Pada Jun, Amerika Syarikat (AS) dan Iran mencapai persetujuan gencatan senjata menerusi memorandum persefahaman selepas usaha mediasi oleh Qatar dan Pakistan, yang membuka ruang kepada rundingan bagi menamatkan konflik.

Namun, Presiden AS, Donald Trump kemudian mengumumkan gencatan senjata itu berakhir pada 8 Julai selepas berlaku peningkatan semula ketegangan ketenteraan.

AS sebelum ini menggesa Iran memastikan keselamatan kapal perdagangan serta menjamin kebebasan pelayaran di Selat Hormuz, laluan utama perdagangan minyak dunia.

Bagaimanapun, Iran mahu sebarang pergerakan kapal di kawasan berkenaan dikawal menerusi mekanisme yang ditetapkannya sendiri.

Dalam perkembangan sama, Trump dilaporkan telah mengarahkan tentera AS supaya tidak melancarkan serangan baharu terhadap Iran, sekali gus menghentikan operasi ketenteraan yang berlangsung hampir dua minggu.

Must Watch Video

Advertisement