KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah menafikan dakwaan tular kononnya ramai tahanan warga Filipina meninggal dunia akibat keadaan sesak di depot tahanan imigresen negeri ini.
Pengarah Imigresen Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof, dalam satu kenyataan hari ini menegaskan bahawa dakwaan itu tidak benar, tidak berasas dan mengelirukan.
Beliau berkata gambar tular di media sosial itu juga bukan merupakan gambar mana-mana Depot Tahanan Imigresen di bawah seliaan JIM Sabah.
“Semua tahanan warganegara Filipina yang ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Negeri Sabah berada dalam keadaan baik sementara menunggu proses penghantaran pulang ke negara asal,” katanya.
Beliau berkata sepanjang tempoh tahanan, semua penghuni depot diberikan layanan dan perlindungan sewajarnya selaras dengan peruntukan undang-undang serta prosedur operasi yang berkuat kuasa.
Sitti Saleha berkata tahanan turut diberikan kemudahan asas termasuk makanan mengikut jadual ditetapkan serta mematuhi menu dan ketetapan nutrisi diluluskan Kementerian Kesihatan bagi memenuhi keperluan orang dewasa dan kanak-kanak.
Selain itu, katanya, tahanan turut diberikan akses kepada rawatan perubatan apabila diperlukan serta keperluan asas lain.
Beliau berkata proses penghantaran pulang tahanan warga Filipina melalui operasi kapal dari Sandakan ke Zamboanga yang sebelum ini menjadi laluan utama repatriasi telah digantung pihak berkuasa Filipina sejak Februari lepas sekali gus menjejaskan kelancaran proses penghantaran pulang tahanan ke negara asal.
“Bagi memastikan proses repatriasi terus dilaksanakan, JIM Sabah menggunakan laluan alternatif iaitu melalui penerbangan dari Kota Kinabalu ke Manila serta laluan laut dari Lahad Datu ke Bongao.
“Bagaimanapun, pelaksanaan penghantaran pulang melalui laluan alternatif ini adalah tertakluk kepada persetujuan keluarga tahanan untuk menanggung kos perjalanan berkenaan,” katanya.
Sitti Saleha berkata JIM sentiasa komited memastikan kebajikan, keselamatan dan kesihatan semua tahanan terus terpelihara selain melaksanakan proses penghantaran pulang mengikut undang-undang, prosedur ditetapkan serta kerjasama erat dengan pihak berkuasa Republik Filipina.
Orang ramai turut dinasihatkan supaya tidak mempercayai atau menyebarkan maklumat, gambar atau kandungan tidak sahih dan mengelirukan serta mendapatkan maklumat tepat melalui saluran rasmi JIM.
-- BERNAMA