SAN FRANCISCO: Sempena ulang tahun ke-10 Facebook Marketplace, syarikat teknologi Meta melancarkan aplikasi berasingan yang dinamakan Seller bagi membantu penjual mengurus aktiviti perniagaan mereka dengan lebih cekap.
Aplikasi itu kini ditawarkan kepada pengguna Facebook Marketplace yang aktif di Amerika Syarikat sebelum diperluaskan ke pasaran lain pada masa hadapan, lapor Amanz.
Facebook Marketplace diperkenalkan selepas Meta melihat peningkatan aktiviti jual beli dalam komuniti Facebook Groups, sebelum berkembang menjadi antara platform jual beli dalam talian terbesar di dunia dengan kira-kira 430 juta senarai produk baharu setiap bulan.
Melalui aplikasi Seller, penjual mendapat akses kepada antara muka khusus yang disepadukan dengan Meta AI, yang mampu menjana tajuk, penerangan produk serta cadangan harga secara automatik berdasarkan gambar yang dimuat naik.
Selain itu, aplikasi tersebut turut dilengkapi kemudahan peti masuk bersepadu (unified inbox) yang membolehkan semua perbualan dengan pelanggan diuruskan dalam satu antara muka tanpa perlu bergantung kepada aplikasi utama Facebook.
Langkah itu memperlihatkan komitmen Meta untuk memperkukuh kehadirannya dalam sektor perdagangan digital serta memudahkan urusan penjual yang menggunakan Facebook Marketplace sebagai saluran utama perniagaan mereka.
Setakat ini, Meta belum mengumumkan tarikh pelancaran rasmi aplikasi Seller untuk pasaran Asia Tenggara atau Malaysia.