GLASGOW: Perenang para negara Abdul Halim Mohamad menamatkan saingan di tempat keenam acara 100 meter (m) kuak dada SB9 lelaki di Sukan Komanwel Glasgow 2026 pada Isnin.
Atlet berasal dari Sabah yang meraih lima pingat emas pada Sukan Para ASEAN 2025 itu mencatatkan satu minit 16.41 saat (s) dalam aksi akhir yang berlangsung di Pusat Renang Antarabangsa Tollcross, di sini.
Pingat emas dimenangi Beau Matthews dari Australia dengan catatan 1:09.41s, manakala Joshua Willmer dari New Zealand meraih perak selepas mencatat masa 1:11.44s.
Seorang lagi perenang Australia Timothy Hodge melengkapkan kedudukan podium apabila meraih gangsa dengan 1:12.74s.
Acara renang dan renang para Glasgow 2026 yang berlangsung selama enam hari akan melabuhkan tirai pada Rabu ini.
-- BERNAMA