TOKYO: Sekurang-kurangnya 50 orang dikejarkan ke hospital akibat kecederaan selepas gempa bumi bermagnitud 7.1 menggegarkan Wilayah Kumamoto di barat daya Jepun pada Selasa.
Agensi Meteorologi Jepun (JMA) melaporkan gempa yang berlaku pada 4.27 petang waktu tempatan itu mencatat intensiti maksimum tujuh pada skala Shindo di Pulau Kyushu.
Menurut laporan penyiar awam NHK, sekurang-kurangnya 12 kediaman runtuh, manakala empat kejadian membabitkan mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan.
Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi, berkata pihak berkuasa sedang menilai tahap kerosakan serta jumlah sebenar mangsa yang cedera akibat bencana itu.
"Gangguan bekalan elektrik dan kebakaran sedang berlaku di beberapa kawasan, selain jalan raya, jambatan dan bangunan turut mengalami kerosakan," katanya.
Syarikat utiliti Kyushu Electric Power mengesahkan kira-kira 45,000 kediaman dan kemudahan terputus bekalan elektrik susulan gempa berkenaan.
Bagaimanapun, Pihak Berkuasa Pengawal Selia Nuklear Jepun berkata tiada keabnormalan dikesan di loji tenaga nuklear di kawasan berkenaan, dengan reaktor yang beroperasi terus berfungsi seperti biasa.
JMA sebelum ini mengeluarkan amaran tsunami setinggi satu meter sejurus selepas gempa bumi itu berlaku.
Namun, amaran berkenaan ditarik balik kurang dua jam kemudian selepas agensi itu mengesahkan tiada aktiviti tsunami dikesan berikutan gempa berpusat di kawasan daratan.
Pihak berkuasa turut mengingatkan penduduk supaya terus berwaspada terhadap kemungkinan berlakunya gegaran susulan yang kuat dalam tempoh beberapa hari akan datang.