SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari mengarahkan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengambil tindakan segera terhadap kewujudan penempatan haram warga asing di sekitar Setia Alam di sini.
Beliau berkata arahan itu susulan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri Selangor beberapa hari lepas yang menetapkan tindakan penguatkuasaan perlu dilaksanakan sekiranya didapati berlaku pencerobohan tanah.
“MBSA akan mengambil tindakan termasuk mengeluarkan notis kepada pemilik tanah terbabit dan mengenal pasti sama ada tanah tersebut milik kerajaan atau persendirian.
“Hari ini, apabila perkara ini dibangkitkan, saya sudah memaklumkan pihak terbabit dan percaya tindakan segera akan dilakukan, terutamanya notis kepada tuan tanah,” katanya.
Amirudin berkata demikian pada sidang media Pelancaran Festival Turath Islami Selangor di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini hari ini.
Semalam, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata pihaknya menyiasat dakwaan kewujudan perkampungan haram warga asing di sekitar Setia Alam walaupun tindakan penguatkuasaan telah diambil pada awal April lepas.
Penempatan haram itu didakwa juga dibina di kawasan ladang kelapa sawit dan didiami ribuan warga asing.
-- BERNAMA